KUALA LUMPUR, 18 MAC – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghargai kerjasama dan semangat berpasukan semua pihak terutama yang terlibat dalam industri bola sepak tempatan dalam menghadapi cabaran membendung penularan wabak COVID-19.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan persatuan itu menangguhkan kesemua perlawanan dan aktiviti bola sepak di setiap peringkat adalah sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.
“Keputusan itu juga demi kemaslahatan umum selepas mengambil kira semua aspek dan cabaran serta kekangan pemegang taruh termasuk penjualan tiket dan impak yang besar kepada penonton, media, penaja dan rakan kongsi secara amnya.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menghulurkan sekalung penghargaan kepada semua ahli gabungan, rakan-rakan penaja, penyokong dan warga bola sepak tempatan atas sokongan penuh sepanjang tempoh bertenang ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru agar semua pihak menjaga kesihatan, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa dalam mendepani wabak itu. – Bernama