FAM senarai pasukan ke kelayakan Piala Asia AFC B-23

KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Selepas terlepas aksi kelayakan ke Kejuaraan Bawah-23 AFC 2020, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu memastikan skuad negara mengesahkan slot bagi edisi seterusnya, yang dikenali sebagai Piala Asia AFC B-23 2022 di Uzbekistan, pada Jun tahun depan.

Bagi mencapai hasrat itu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan membariskan pasukan terbaik menjelang pusingan kelayakan yang bakal diadakan di Mongolia bermula 23 hingga 31 Oktober ini.

Namun beliau berkata, wujud kebimbangan skuad kendalian Brad Maloney tidak dapat membariskan pemain terbaik kerana tempoh kejohanan itu tidak berada dalam jendela FIFA, untuk mewajibkan kelab melepaskan pemain yang disenaraikan.

“Contohnya pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim) dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC). Sebahagian besar pemain beraksi di Liga Premier dan Liga Super, ada juga yang beraksi di luar negara.

“Kalau kelab tersebut melepaskan, kita akan guna pemain-pemain ini. Jika kelab perlukan khidmat mereka, itu hak mereka sebagai majikan, selain kita akan melihat pemain-pemain muda yang berpotensi untuk bermain,” katanya pada sidang media dalam talian selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, hari ini. – Bernama