Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    FAM teruskan bidaan jadi tuan rumah Piala Asia 2023

    SEPANG, 8 FEB – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal dengan pendirian untuk membida sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung Jun depan.

    Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata walaupun kes jangkitan COVID-19 di negara meningkat secara mendadak, pihaknya percaya gelombang penularan varian Omicron terkawal dan dapat diturunkan seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Beliau berkata FAM juga tidak membuat sebarang perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam permohonan mereka kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadi tuan rumah aksi kelayakan tersebut sebelum ini.

    “Betul (kes) naik tapi kali ini berbeza sebab ramai yang sudah vaksin. Jadi kita cuma ikut SOP KKM serta MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan kami tetap meneruskan pembidaan lagipun sekretariat kami pun sudah hantar permohonan itu.

    Kita harap selepas 24 Februari iaitu selepas proses undian berlangsung kita akan dapat jawapannya. AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad, hari ini.

    Hamidin pada masa sama berkata beliau dimaklumkan hampir kesemua negara terlibat pada kempen kelayakan itu turut membida untuk menjadi tuan rumah.

    Justeru, beliau berharap skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih baharu Kim Pan Gon bersedia jika terpaksa mengharungi kempen kelayakan di luar negara.

    “Setakat ini kita masih menepati kriteria tetapi kita terpaksa bersaing dengan negara lain yang ada antara mereka langsung tidak perlu kuarantin dan ada yang terus masuk ke dalam gelembung sukan,” katanya.– Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...