FAMA anjur pertandingan cipta menu berasaskan buah-buahan tempatan

SUNGAI PETANI, 23 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menganjurkan pertandingan mencipta menu berasaskan buah-buahan tempatan di peringkat sekolah, bagi meningkatkan minat masyarakat khususnya golongan muda terhadap buah-buahan tempatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata ini kerana kesedaran golongan muda untuk memilih buah-buahan tempatan sebagai satu juadah makanan dan minuman didapati masih berada pada tahap yang rendah.

“Justeru satu daripada cara untuk menggalakkan mereka memilih buah-buahan tempatan ialah dengan mengetengahkan kepelbagaian persembahan produk makanan atau minuman berasaskan buah-buahan tempatan.

“Pertandingan mencipta menu ini adalah alternatif terbaik untuk mencari idea baharu bagi menarik minat golongan muda untuk makan buah-buahan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan Peringkat Sekolah Negeri Kedah 2017 di Sekolah Menengah Sains Sultan Muhammad Jiwa Sungai Petani, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Kedah Anuar Mohamed dan Pengetua sekolah terbabit, Harris Ganae Nainar.

Ahmad berkata pertandingan yang dijadual bermula Januari hingga Oktober 2018 itu, diharap akan membawa kepada penemuan menu baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan. – Bernama