PURI, India , 3 Mei – Sekurang-kurangnya tiga orang mati hari ini ketika Siklon Fani, terbesar dalam tahun ini, menghentam timur India, mengakibatkan pokok-pokok kelapa berterbangan dan memutuskan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.
Raksasa cuaca itu mendarat di bandar suci Puri pada waktu pagi, dengan angin kencang sehingga 200kmsj.
Dalam beberapa hari lalu, pihak berkuasa di bandar Odisha, di mana 10,000 orang mati dalam siklon 1999, sudah pun memindahkan lebih daripada sejuta orang ketika mereka bimbang mengenai kemungkinan taufan 1.5 meter panjang itu melanda jauh ke pedalaman.
Seorang lelaki mati akibat serangan jantung dalam salah sebuah daripada tempat perlindungan yang dibina, manakala yang lainnya mati akibat ditimpa pokok tumbang, menurut pihak berkuasa. Laporan media meletakkan angka kematian seramai enam orang, namun pegawai tidak dapat mengesahkan perkara itu.
Pihak berkuasa di Bangladesh, yang dituju Fani kemudiannya, mengatakan seorang wanita terbunuh, juga ditimpa pokok dan 14 buah kampung dibanjiri air akibat empangan pecah apabila air pasang berlaku.
Jurucakap pengurusan bencana Mohammad Jahir memberitahu AFP bahawa 400,000 orang dari kampung-kampung pinggir pantai Bangladesh turut mendapatkan perlindungan.
Manakala beratus-ratus ribu lagi orang di negeri West Bengal, India diarahkan melarikan diri. Lapangan terbang setempat ditutup manakala laluan kereta api dan jalan raya juga ditutup.
“Ia tiba-tiba gelap dan secara mendadak, kami tidak dapat melihat dalam jarak lima meter di hadapan kami,” kata seorang penduduk di Puri.
“Banyak gerai-gerai tepi jalan, papan tanda kedai berterbangan di udara,” kata seorang lelaki memberitahu AFP dari hotel yang didiaminya. “Angin pula membingitkan telinga.”
Seorang saksi mengatakan dia melihat sebuah kereta kecil ditiup angin di sepanjang jalan dan terbalik.
Selepas menghentam Puri dan Bhubaneswar serta menuju ke barat daya, ia kehilangan kekuatannya dan pihak berkuasa bergelut untuk membersihkan jalan daripada pokok-pokok tumbang dan memulihkan perkhidmatan telefon dan internet.
Fani dijangka melanda Kolkata, ibu negeri West Bengal esok, sebuah bandar dengan 4.5 juta penduduk. – AFP