FAO: Harga makanan dunia menurun

PARIS, 6 MEI – Harga makanan dunia menurun sedikit bulan lalu selepas mencecah rekod pada Mac tetapi masih tinggi disebabkan perang Ukraine, kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB hari ini.

Sekatan antarabangsa ke atas Rusia serta gangguan aliran eksport akibat serangan pada 24 Februari telah mencetuskan kebimbangan krisis kelaparan global.

Rusia dan Ukraine, dengan rantau penanaman bijirin merupakan kawasan penanaman makanan utama dunia, menyumbang kepada sebahagian besar eksport dunia dalam beberapa komoditi utama, termasuk gandum, minyak sayuran dan jagung.

Indeks harga makanan FAO, yang telah mencatat rekod untuk bulan Mac dan Februari, merosot 0.8 peratus pada April berbanding bulan sebelumnya, kata agensi dalam satu kenyataan.

“Penurunan kecil dalam indeks merupakan satu kelegaan, terutamanya untuk negara berpendapatan rendah namun harga makanan masih tinggi, mencerminkan pasaran yang masih bergolak dan menimbulkan cabaran kepada keselamatan makanan global untuk golongan yang mudah terjejas,” kata ketua ahli ekonomi FAO Maximo Torero Cullen.

Kemerosotan kecil dipimpin harga minyak sayuran, dengan indeks harga minyak sayuran FAO merosot 5.7 peratus pada April.

Bagaimanapun, FAO berkata harga masih tinggi di tengah ‘ketidakpastian mengenai eksport dari Indonesia, pengeksport minyak sawit terkemuka dunia.’

Keputusan Indonesia untuk menggantung eksport minyak sawit ketika berdepan kekurangan telah mendorong harga minyak sayuran naik ke tahap tinggi, sekali gus menjejas pasaran yang telah pun terkesan disebabkan peperangan di Ukraine.

Indeks merupakan ukuran perubahan bulanan dalam harga antarabangsa komoditi makanan. – AFP

Produk yoghurt kelihatan di kilang Stonyfield Farm, Londenderry, New Hampshire pada 4 Mei 2022. Harga makanan dunia telah menurun bulan lalu selepas mencecah rekod pada Mac. – AFP