Farah Nabilah hamil lima bulan

Agak menyepi daripada dunia lakonan selepas mendirikan rumah tangga Disember tahun lalu, pelakon Farah Nabilah mengumumkan kini hamil lima bulan.

Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 28, dan suaminya iaitu Mohammed Amirul Yunus meluahkan rasa syukur dan teruja menantikan kelahiran anak damit sulung mereka.

“Ahamdulillah, perasaan saya dan suami sudah tentu berasa sangat gembira dan teruja nak menyambut kelahiran anak pertama kami.

“Saya dan suami tidak meletakkan harapan untuk dikurniakan anak lelaki atau perempuan. Bagi saya, asalkan anak damit saya dalam keadaan sihat.

“Apa yang penting sekarang, saya harap peminat dapat mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Itu saja,” kata Farah kepada mStar.

Farah Nabilah dan suami teruja sambut kelahiran anak pertama mereka. – Agensi

Terdahulu Farah berkongsi berita gembira tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

Ruang komen di perkongsian tersebut dipenuhi dengan ucapan tahniah dan mendoakan agar Farah berada dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman awal trismester pertama, Farah berkata, dia tidak mengalami alahan yang teruk.

“Buat masa sekarang, saya tidak mengalami alahan yang teruk. Tapi masa trimester pertama, saya rasa geli dan tak boleh makan ayam pun.

“Alhamdulillah, sekarang dah okey. Bab mengidam, semua makanan saya teringin nak makan. Waktu PKP, saya pernah menangis sebab tak dapat apa yang saya mengidam,” ujarnya.

Farah dan suaminya yang juga seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan terkenal berkahwin pada 20 Disember tahun lalu. – Agensi