KUALA LUMPUR – Pelakon, Faralyna Idris, bersyukur apabila anaknya, Fira Anggun, setahun tiga bulan, tidak banyak meragam di lokasi drama dibintanginya.
Menurut wanita bertubuh tinggi lampai ini, berikutan si kecil dijaga sendiri olehnya dan suami, Muhammad Fikri Abdullah, beliau membawa permata hatinya itu ke lokasi apabila dirinya terbabit dengan penggambaran.
“Jika diikutkan, saya agak berat hati hendak berlakon mengenangkan anak masih kecil. Namun, apabila mengenangkan rezeki saya dalam lakonan masih ada, saya tetap mencabar diri menerimanya. Lagipun, beberapa drama yang dilakonkan sejak akhir-akhir ini tidak memerlukan saya berada lama di set penggambaran. Di lokasi pula, ramai yang suka melayan Anggun. Jadi, ia tidaklah menyusahkan,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Disember 2014.
Kata Faralyna, walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak, kerinduannya pada lakonan tidak pernah berkurang.
Justeru, selepas dua tahun memperlahankan rentak di arena seni, beliau kini bersedia untuk kembali memeriahkan bidang berkenaan.
Tahun lalu, pelakon yang mempunyai iras Nasha Aziz ini membintangi drama Amsyar yang menghiasi slot Azalea di TV3. Kemudian, Faralyna terbabit pula dengan drama Tika Langit Terbuka arahan Rashid Sibir.
Ketika ini, pelakon berbakat berkenaan sibuk di lokasi penggambaran drama 50 episod, Cinta Koko Coklat, bagi siaran slot Samarinda.
Tegasnya, walaupun dihulurkan tawaran menjayakan watak pembantu, sebagai pelakon, beliau tetap menghargai setiap peluang yang datang.
“Dalam drama ini, bintang utama lelakinya ialah Aqasha manakala heroin pula Zahirah Macwilson, dengan masing masing memegang watak Haikal serta Damia. Saya pula berlakon sebagai Jasnita, iaitu sepupu Haikal.” katanya.