Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Farid Kamil mahu bersendirian mencari jawapan

    Tanpa berselindung, pelakon Farid Kamil mengakui sudah lama tidak bersua muka dengan dua anak kesayangannya sejak rumah tangga bersama Diana Danielle kembali bergolak.

    Bukan dihalang bertemu mereka sebaliknya kata Farid, 44, ketika ini dia lebih selesa bersendirian dalam usaha mencari jawapan tentang beberapa perkara sedang dilaluinya.

    “Kali terakhir kami berjumpa tahun lalu. Bukan tak boleh jumpa cuma saya perlu ‘berjalan’ seorang diri mencari jawapan.

    “Pun begitu kami tetap berhubung menerusi panggilan telefon cuma sudah agak lama tidak bersua muka,” katanya kepada mStar.

    Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran filem Hukum Kifarah di Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor kelmarin.

    Mengakui hubungan dengan Diana masih renggang, Farid berkata dia hanya bergantung kepada doa dalam usaha melihat keluarganya kembali bersatu.

    “Dalam keadaan tidak begitu baik tapi berdoa untuk dapatkan kebaikan. Kami masih dalam proses cuba berbaik.

    “Sebab pada saya dalam situasi sekarang tiada apa-apa boleh dilakukan untuk sampaikan hasrat saya ketika ini.

    “Saya tak pernah berhenti berdoa supaya satu hari nanti keluarga saya kembali bahagia seperti dulu, itu harapan saya,” ujarnya.

    Ditanya mengenai perkara yang paling dirindui ketika ini, Farid memberitahu ‘bau’ keluarga perkara tidak boleh dilupakan daripada ingatan.

    Malah Farid merindukan mereka sekeluarga menghabiskan masa bersama dan bercuti.

    “Bau. Bau keluarga itu perkara yang saya rindukan. Kenangan bersama anak-anak dan isteri, mungkin bercuti bersama mereka itu antara saya rindukan,” jelasnya.

    Pada 4 November tahun lalu, Diana memfailkan cerai terhadap Farid selepas setahun mereka kembali rujuk.

    Sebutan semula kes penceraian mereka disambung 24 Mac depan susulan Farid tidak bersetuju menceraikan isterinya.

    Untuk rekod, pasangan itu bercerai pada 10 Ogos 2023 namun mereka memilih kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.

    Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora yang kini berusia 10 tahun.

    Dalam perkembangan lain, Farid menjadi pelakon utama bagi filem Hukum Kifarah yang akan memulakan penggambaran pada Februari ini dan akan ditayangkan pada 2026. – Agensi

    Farid ambil masa sendirian dekatkan diri dengan Allah SWT. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda