Farisha gembira jika Dolla menang

Calon kategori ‘favourite’, Farisha Iris menyifatkan kumpulan Dolla antara finalis yang memberi saingan sengit dalam pencarian Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34.

Selain Dolla, Farisha atau nama sebenar, Farisha Asmadi berentap dengan Aisha Retno, Loca B dan Norreen Iman.

Namun, enggan menidakkan potensi dan pengaruh calon lain, penyanyi lagu Hello itu percaya undian peminat boleh mencipta kejutan.

“Jika diikutkan pengaruh dan populariti diraih, saya secara peribadi melihat Dolla mungkin menyandang trofi kategori itu. Saya juga meminati mereka.

“Lihat saja gambaran yang diberikan kepada kumpulan dianggotai empat gadis itu sebagai jelmaan Blackpink dari Korea atau versi Malaysia.

Farisha Iris menyifatkan kumpulan Dolla antara finalis yang memberi saingan sengit dalam pencarian Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34. – Agensi

“Kalau ada rezeki untuk mereka, saya tumpang gembira,” katanya.

Mengenai potensi dirinya merebut trofi Artis Baharu Wanita Popular, naib juara program Idola Kecil musim keempat itu hanya mengikut rentak.

“Prinsip saya tidak mahu terlalu berharap. Siapa yang tidak mahu menang, bukan?

“Saya hanya mengikut keadaan. Jika betul rezeki saya sudah tertulis untuk menang, Alhamdulillah. Kalau bukan, barangkali Tuhan hendak bagi rezeki itu lain kali,” katanya.

Namun, penyanyi yang mencuri perhatian selepas menyertai program realiti, Big Stage musim ketiga, tahun lalu itu, bersyukur mara sebagai calon Top 5. Farisha bersyukur peminat mengundi dirinya hingga mara Top 5.

“Tidak ketinggalan kelab peminat, Farisha Iris Squad bekerja keras. Barangkali, merekalah yang meminati saya sejak mula bertapak dari 2011 sampai sekarang.

“Ahli keluarga saya pun turut mengundi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penuntut pengajian ijazah sarjana muda perhubungan awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini sedang menunggu waktu sesuai melancarkan single kelima.

Lagu yang masih dirahsiakan judul dan genre itu dicipta Ming Ailing dari Mass Music. – Agensi