Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Farm to Table ketengah hasil ladang peniaga tempatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menerusi Community for Brunei (CFB) melancarkan kempen media sosial, Farm to Table, yang akan mengetengahkan hasil ladang peniaga-peniaga tempatan di laman sesawang CFB.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Kempen Negara Mampan BIBD dan ia adalah selaras dengan program siri BIBD SME360 bersama CFB iaitu merupakan kempen senegara yang bermatlamat untuk menggalakkan tindakan kecil yang memberi kesan kepada usaha menangani perubahan iklim serta bergerak ke arah ekonomi sirkular khususnya bagi perniagaan kecil dan masyarakat umum.

    Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar berkata kempen itu adalah sebahagian daripada strategi pelbagai hala BIBD dan usaha bersepadu ke arah mengukuhkan lagi komitmennya untuk membantu Negara Brunei Darussalam menangani agenda kemampanan negara dan global.

    “Kami inginkan petani tempatan dan komuniti kita untuk mengambil peluang ini menjadi sebahagian daripada Kempen Negara Mampan kami dan memajukan lagi agenda kemampanan mereka sambil menyokong satu sama lain serta mengukuhkan ekonomi tempatan.”

    Kempen media sosial itu merupakan jemputan terbuka kepada peniaga-peniaga berfikiran serupa untuk mempromosikan dan menjual hasil kebun segar mereka di pasaran CFB.

    Antara peniaga kebun tempatan yang diketengahkan di laman sesawang itu termasuklah PLUG Backyard Farm, sebuah perusahaan di Tutong bertujuan mendidik komuniti meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam semula jadi dan menjana ekopelancongan melalui inisiatif persekitaran mampan. Manakala Kabunku, menyediakan pelbagai sayur-sayuran hijau dan ikan tilapia yang kesemuanya dihasilkan tempatan, organik serta 100 peratus bebas daripada racun perosak dan ditanam secara mampan.

    Satu lagi ladang yang diketengahkan, Kemari Farm merupakan pemenang bagi program Youth Against Poverty pada 2019 yang mempunyai matlamat utama mendidik belia mengenai pertanian sebagai sebuah kerjaya yang berdaya maju serta membantu negera menjadi sebuah negara berdikari.

    Peniaga lain yang diketengahkan ialah Superfish Grower yang merupakan sebuah entiti payung bagi koleksi peladang, pengeluar dan pembuat buah-buahan premium yang ditanam berkualiti nilai tinggi bagi pasaran eksport.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...