Farmasi AS Moderna bina kilang di Afrika

NEW YORK, 7 OKT – Syarikat farmasi AS, Moderna mengumumkan mereka akan membina sebuah kilang di Afrika, kerana tekanan meningkat terhadap pembuat ubat untuk membantu meningkatkan pengeluaran vaksin COVID-19 di kawasan yang mengalami kekurangan vaksin.

Firma bioteknologi itu mengatakan mereka ‘akan membina kemudahan mRNA canggih di Afrika dengan tujuan untuk menghasilkan hingga 500 juta dos vaksin setiap tahun.”

Moderna mengatakan pada awal tahun ini, mereka akan meningkatkan pembuatan vaksin mRNA dan meng-umumkan akan membina kilang Kanada pada bulan Ogos, kerana penghasil berusaha untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk suntikan vaksin COVID-19 di seluruh dunia.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyatakan di mana kemudahan itu akan dibina atau memberikan tarikh permulaannya – hanya syarikat itu ‘menjangka akan memulakan proses pemilihan negara dan lokasi tidak lama lagi’.

Firma itu mengatakan pihaknya menjangka melabur hingga AS$500 juta untuk kilang baru itu, yang ‘dijangka merangkumi pembuatan bahan ubat’, serta peluang untuk kemampuan pembungkusan. Pejabat WHO di Afrika mengatakan separuh daripada negara-negara benua yang telah menerima vaksin telah menginokulasi kurang dari 2 peratus daripada populasi mereka.

Pada bulan Julai, Pfizer Laboratories dan BioNTech mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan kumpulan Biovac untuk membungkus vaksin mereka di Cape Town, Afrika Selatan, mulai tahun 2022. – AFP