LONDON, 9 JAN – Owen Farrell mungkin terlepas aksi pembukaan kejuaraan Ragbi Six Nations England menentang Scotland bulan depan selepas melakukan terjahan berbahaya semasa Saracens menang 19-16 dalam Ragbi Premiership ke atas Gloucester.
Pemain fly-half Saracens itu, 31, berada dalam senarai bermula untuk England dalam perlawanan pertama di bawah pimpinan Steve Borthwick, menentang Scotland di Twickenham pada 4 Februari.
Namun dia mungkin diketepikan berikutan apa yang kelihatan seperti terjahan yang tinggi, di bahu pemain gantian Gloucester, Jack Clement hampir ke penghujung pertemuan tegang di Kingsholm pada Jumaat, di mana Farrell menyumbat drop-goal kemenangan dengan sepakan terakhir permainan.
Dia akan menghadapi perbicaraan tatatertib pada 1830 GMT esok.
Bagaimanapun pengadil perlawanan Karl Dickson tidak mengambil tindakan di atas padang terhadap Farrell, selepas ia kelihatan seperti salah komunikasi dengan pegawai perlawanan T|V.
Tetapi pesuruhjaya James Hall dipetik sebagai berkata bahawa Farrell yang dilantik sebagai kapten England oleh bekas jurulatih Eddie Jones, perlu menjawab kes itu disahkan bahawa bahu pemain itu menyentuh dagu Clement.
Terjahan berbahaya jarak pertengahan, termasuk terkena kepala, membawa penggantungan enam minggu, namun ia boleh dikurangkan separuh dengan rekod disiplin yang baik.
Penggantungan juga boleh dikurangkan jika pesalah bersetuju untuk menjalani kursus dalam meningkatkan teknik terjahan mereka.
Farrell telah digantung lima perlawanan pada 2020 berikutan terjahan tinggi ke atas pemain Wasps, Charlie Atkinson, dan persoalan mengenai tekniknya telah dibangkitkan sebelum ini, terutamanya apabila dia terlepas daripada sekatan untuk pertuduhan bahu ke atas pemain Afrika Selatan, Andre Esterhuizen di Twickenham pada 2018. – AFP