Farrell, George keluar dari perlawanan Springboks

LONDON, 16 NOV – Kapten England, Owen Farrell dan rakan sepasukan Jamie George telah dikeluarkan daripada skuad England untuk menentang Afrika Selatan kerana kecederaan.

Farrell mengalami kecederaan pada akhir perlawanan selepas mengalami masalah buku lali semasa England menang 32-15 ke atas Australia pada Sabtu lalu.

Manakala, George mengalami masalah lutut dalam perlawanan yang sama menentang Wallabies.

Farrell, 30, sudah terlepas perlawanan semasa kemenangan menentang Tonga pada awal November di mana dia terpaksa mengasingkan diri berikutan ujian COVID-19 positif palsu.

“Owen Farrell dan Jamie George telah dikeluarkan daripada skuad dengan kecederaan yang dialami semasa England menang 32-15 ke atas Australia Sabtu lalu,” menurut kenyataan Kesatuan Ragbi England kelmarin.

Jack Singleton dan rakan sepasukannya di Gloucester, Harry Elrington telah dipanggil oleh ketua jurulatih England, Eddie Jones menjelang kunjungan Springboks ke Twickenham dalam siri Autumn Nation pada Sabtu.

Singleton, 25, kembali ke skuad England setelah diberikan tiga penampilan pada 2019, termasuk sebagai pemain gantian menentang Amerika Syarikat semasa peringkat kumpulan Piala Dunia.

Elrington, 27, menyertai Gloucester menjelang musim semasa setelah memulakan kerjayanya dengan London Irish. – AFP

Aksi pemain ragbi England, Marcus Smith dan Owen Farrell membuat percubaan dalam perlawanan menentang Australia. – AFP