Fasa 2 LPB dijangka dimuktamad

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Kerajaan masih meneliti jajaran terbaik yang tidak melalui Negara Brunei Darussalam bagi fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak di Limbang dan Lawas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata ia turut mengambil kira pandangan kerajaan negeri dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB-Santubong) yang ingin tahu sama ada LPB Sarawak akan dibina merentasi Brunei Darussalam atau sebaliknya.

Dalam lawatan ke Brunei pada September lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jajaran lebuh raya itu tidak akan melalui negara berkenaan selepas mengambil kira antara lain isu kos dan imigresen.

Bagi spesifikasi jajaran fasa dua, beliau berkata perkara itu akan dimuktamadkan setelah penentuan jajaran dibuat.

Menjawab pertanyaan lain, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata 6,570 orang gelandangan telah mendaftar masuk dan menerima perkhidmatan di Anjung Singgah secara sukarela setakat ini.

Daripada jumlah itu, 4,890 orang telah mendapat padanan kerjaya manakala selebihnya telah dirujuk ke agensi yang berkaitan dan ada yang pulang ke kampung halaman, katanya ketika menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) mengenai masalah gelandangan.

Anjung Singgah yang ditadbir Yayasan Kebajikan Negara (YKN) merupakan pusat khidmat bantuan sosial dan intervensi yang diwujudkan bertujuan membantu golongan gelandangan. – Bernama