Fasa 2 projek penanaman padi secara komersial di Kandol bermula

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Kerja-kerja infrastruktur bagi fasa 2 Projek Pembukaan Kawasan Penanaman Padi Secara Komersial Berkeluasan 500 hektar di kawasan Kandol, Daerah Belait telah bermula dengan penandatanganan kontrak dan persetujuan pelantikan konsultan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya, Syarikat Hiew HY Construction telah dilantik sebagai kontraktor projek manakala itu, Jurusy Perunding Sdn Bhd dilantik sebagai perunding utama projek tersebut.

Kontrak dan persetujuan pelantikan konsultan berkenaan telah ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim; Pemangku Pengarah Saliran dan Pembetungan, Haji Mazlan bin Haji Abdul Salim; Pengarah Urusan Hiew HY Construction Sdn Bhd, Chong Chen Kong dan Pengarah Urusan Jurusy Perunding Sdn Bhd, Ir Haji Samat bin Haji Abas pada majlis yang berlangsung di Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan mengikut langkah-langkah SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, projek yang merupakan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) itu dilaksanakan untuk menambah lagi keluaran padi dan beras bagi meningkatkan sekuriti makanan negara khususnya beras.

Kerja-kerja infrastruktur bagi fasa 2 itu merupakan kesinambungan daripada projek fasa 1 seluas 30 hektar yang telah siap dibuka pada penghujung 2020.

Penanaman bagi kawasan Kandol Fasa 1 telah dilaksanakan sepenuhnya oleh PaddyCo Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd.

Setakat ini, PaddyCo Sdn Bhd telah melaksanakan penanaman di Kawasan Kemajuan Pertanian Kandol selama empat musim bermula Oktober 2019 dan telah menghasilkan sekitar 155 tan metrik padi.

Kerja-kerja infrastruktur fasa 2 yang bernilai lebih $36 juta itu melibatkan kawasan penanaman padi seluas 145 hektar serta pembinaan takungan air seluas 58 hektar. Projek akan mengambil masa selama 20 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2022.

Bagi baki seluas 330 hektar lagi, kerja-kerja penyelidikan tanah akan mula dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Dengan adanya projek berkenaan, ia juga bermatlamat bagi mewujudkan kawasan penanaman padi berskala komersial yang berpotensi untuk menjadi jelapang padi negara yang baharu yang berpotensi mengeluarkan hasil sehingga 8,000 tan metrik padi iaitu bersamaan dengan 15 peratus keperluan beras negara.