Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Fasa Awal Endemik dilanjutkan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 akan dilanjutkan selama sebulan lagi iaitu bermula 15 Februari hingga 14 Mac.

    Sementara itu, sekatan pergerakan yang dilaksanakan semasa Operasi Peralihan iaitu arahan untuk berada di rumah atau kediaman masing-masing bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi juga akan dilanjutkan sehingga 14 Mac.

    Perkara itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar) bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan merujuk Kenyataan Media Jabatan Perdana Menteri mengenai Pelanjutan Fasa Awal Endemik 10 Januari 2022 lalu.

    Pada Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa pelanjutan berkenaan mengambil kira keadaan situasi penularan jangkitan COVID-19 yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

    Oleh itu, pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan terus membuat pemantauan terhadap penularan jangkitan serta akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan langkah-langkah yang bersesuaian dibuat bagi keselamatan rakyat dan penduduk negara ini.

    “Selain itu, pelanjutan ini juga memberikan masa kepada pihak kerajaan untuk memastikan kes-kes jangkitan serta kadar bed occupancy di pusat-pusat pengasingan adalah kekal rendah; mempergiatkan usaha untuk meningkatkan liputan pemberian dos penggalak secepat mungkin dan seterusnya melaksanakan pemberian suntikan vaksinasi kepada kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun nanti sebaik sahaja bekalan vaksin diperolehi, Insya Allah,” tambah beliau.

    Sekali lagi, jelasnya, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti menjaga penjarakan fizikal, memastikan jumlah kapasiti yang dihadkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan, menggunakan aplikasi BruHealth secara mandatori serta penggunaan ART adalah digalakkan sebelum memasuki premis-premis.

    Selain itu, bagi mereka yang masih belum mendapatkan atau melengkapkan suntikan vaksinasi COVID-19 adalah dinasihatkan untuk mendapatkannya dengan segera bagi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan tanah air.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...