Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Fasa Awal Endemik dilanjutkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dengan mengambil kira keadaan situasi penularan jangkitan COVID-19 yang masih tinggi pada ketika ini serta merujuk kepada Kenyataan Media Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai Pelanjutan Fasa Awal Endemik bertarikh 9 Februari 2022, Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan kepada orang ramai bahawa Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022.

    “Sementara itu, sekatan pergerakan yang dilaksanakan semasa Operasi Peralihan iaitu arahan untuk berada di rumah atau kediaman masing-masing bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi, juga akan dilanjutkan sehingga hari Khamis, 31 Mac 2022.”

    Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Oleh itu, jelas Yang Berhormat Dato, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus membuat pemantauan terhadap penularan jangkitan serta akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan langkah-langkah yang bersesuaian dibuat bagi keselamatan rakyat dan penduduk negara ini.

    Sekali lagi, beliau menyarankan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan seperti menjaga penjarakan fizikal, memastikan jumlah kapasiti yang dihadkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan, menggunakan aplikasi BruHealth secara mandatori, malah penggunaan ART digalakkan sebelum memasuki premis-premis.

    “Oleh itu, marilah kita terus berdoa dan bertawakal kehadrat Allah supaya kita dihindari dan terselamat daripada penyakit wabak COVID-19. Amin ya rabbal ‘alamin.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...