Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah memaklumkan Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID akan dilanjutkan sehingga 30 April ini.
“Ia adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan pengemaskinian syarat-syarat bagi garis-garis panduan.
“Penjualan ujian pantas antigen (ART) melalui mesin layan diri yang disediakan oleh pihak kerajaan akan ditiadakan memandangkan kit ART ini mudah diperolehi di kedai-kedai pada harga pasaran yang rendah,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga menjelaskan transport operator yang akan membuat perjalanan rentas sempadan atas tugas mengangkat barangan hanya diperlukan untuk mendapatkan keputusan ART yang negatif sekurang-kurangnya dua kali seminggu sahaja, dan tidak lagi perlu untuk mendapatkan ujian RT-PCR pada setiap dua minggu.
“Keputusan ART hendaklah dilaporkan melalui aplikasi BruHealth dan dihadapkan kepada pihak berkuasa di pos-pos kawalan sempadan,” tambahnya.
Langkah tersebut akan bermula dengan serta-merta.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Pehin mengongsikan, Jawatankuasa Pandu COVID akan terus memantau dan meneliti situasi semasa COVID di mana garis-garis panduan akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.
Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di alamat www.jpm.gov.bn.