Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Fasa Awal Endemik tamat 31 Mei

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan bahawa Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang akan berakhir pada 31 Mei ini akan ditamatkan dan tidak akan diteruskan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengumumkan perkara itu bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, turut mengatakan bahawa bermula pada 1 Jun ini, garis panduan langkah-langkah pengawalan COVID akan dikemaskinikan.

    Antara kemas kini itu termasuk tidak ada sebarang had dikenakan bagi perkumpulan ramai sama ada di rumah atau dewan, semua aktiviti kesukanan termasuk pertandingan atau perlawanan dibenarkan tanpa had dikenakan bagi jumlah kehadiran penonton, penyajian makanan seperti bufet bagi apa jua acara di mana-mana premis juga dibenarkan tanpa sekatan.

    Selain itu, tidak ada lagi sekatan had umur bagi jemaah-jemaah yang hadir ke masjid termasuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun sama ada bagi menunaikan sembahyang Fardu Jumaat atau sembahyang fardu lima waktu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media di Kementerian Kesihatan.

    Walau bagaimanapun, syarat penggunaan tikar sembahyang sendiri semasa di masjid-masjid masih lagi dikekalkan.

    Sementara itu, pelitup muka hendaklah dipakai jika berada di dalam bangunan awam dan digalakan memakainya di luar bangunan terutamanya jika dalam keadaan penuh sesak.

    Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk melakukan ujian ART sebelum menghadiri acara dan pada bila-bila masa berasa kurang sihat atau mempunyai tanda-tanda jangkitan, meskipun pemeriksaan suhu badan untuk masuk ke premis-premis tidak lagi dimestikan.

    Perubahan tersebut, menurut beliau, adalah mengambil kira kepada keadaan jangkitan harian COVID di Negara Brunei Darussalam yang stabil, kadar vaksinasi bagi dos ketiga (dewasa dan remaja) termasuk kadar vaksinasi kanak-kanak yang tinggi, dan kes-kes jangkitan yang teruk serta kadar bed occupancy di pusat pengasingan yang rendah.

    Dalam hal tersebut, Yang Berhormat Dato turut menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan hendaklah diteruskan.

    Sementara itu, bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berkeinginan untuk membuat perjalanan keluar negara adalah dikehendaki untuk mendapatkan insurans perjalanan perubatan terlebih dahulu.

    “Insurans ini bukan sahaja dapat menampung kos perubatan akibat jangkitan COVID, malah meliputi kos-kos lain seperti rawatan penyakit-penyakit lain atau kehilangan beg, jika terjadinya sesuatu musibah yang tidak dapat dijangkakan,” jelasnya.

    Menurut beliau lagi, Jawatankuasa Pandu COVID-19 juga akan membuat penelitian dan kajian terhadap beberapa keperluan lain iaitu pelaksanaan ART mingguan bagi pegawai-pegawai dan kakitangan di sektor kerajaan dan swasta; pengimbasan kod QR Bru-Health; pembukaan sempadan darat dan laut; dan ujian swab pre-departure, yang mana hasil daripada penelitian ini dan tertakluk kepada situasi semasa nanti akan dimaklumkan kepada orang ramai pada satu tarikh kemudian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...