Fasa Endemik: lindungi kanak-kanak daripada COVID-19

KUALA LUMPUR – Sasaran kerajaan Malaysia untuk beralih ke fasa endemik terus berada di landasannya, malah kini strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan lagi mengejar imuniti kelompok sebaliknya memberi perlindungan kepada seramai mungkin penduduk melalui vaksinasi COVID-19.

Tumpuan KKM kini adalah memasuki fasa transisi ‘hidup bersama virus COVID-19’ sebelum beralih ke fasa endemik. Ketika fasa ini bilangan kes berada dalam kadar yang dijangkakan dan tidak membebani kesihatan awam.

Justeru, Oktober menjadi bulan yang paling penting kerana banyak aktiviti kembali dibuka membolehkan proses peralihan berlaku secara berperingkat, seiring kadar vaksinasi penuh golongan dewasa yang mencapai 90 peratus dan peningkatan bilangan remaja yang telah divaksin.

Meskipun ini berita baik, namun janganlah kita menjadi seperti kata pepatah ‘mendengar guruh di langit, air di tempayan langsung dicurahkan’.

Masih terlalu awal bagi warga Malaysia untuk meraikannya, apatah lagi dengan varian yang ada – terutama varian Delta, yang mudah merebak dan mengancam nyawa.

Menurut portal COVIDNOW, setakat 8 Oktober, seramai 20,927,867 individu atau 89.4 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ketika hadir menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin di sebuah sekolah di SK Demit 2. – Bernama
Golongan kanak-kanak bermain buaian semasa dibawa oleh ahli keluarga mereka untuk berkelah di Pantai Cherating, Kuantan pada 2 Oktober lalu. Pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak bawah 12 tahun masih belum dilaksanakan ketika ini. – Bernama

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 177,029 atau 5.6 peratus daripada mereka telah melengkapkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun, pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak bawah 12 tahun masih belum dilaksanakan ketika ini.

Vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin COVID-19 berkenaan perolehan vaksin bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah telah diadakan.

Syarikat berkenaan sedang membuat persiapan untuk menghantar data berkaitan kepada semua badan kawal selia seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sementara keputusan di-buat, bagaimana kita melindungi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah?

Menurut Pakar Kesihatan Persekitaran, Profesor Dr Juliana Jalaludin, tindakan segelintir ibu bapa yang membawa kanak-kanak yang belum divaksin keluar ke kawasan berisiko tinggi terutamanya ke ruangan tertutup dengan sirkulasi udara yang buruk dan sesak serta mempunyai tahap prosedur operasi standard (SOP) longgar, mendedahkan mereka kepada individu yang berpotensi menyebarkan virus kepada golongan yang sensitif ini.

“Data KKM menunjukkan jumlah kes baharu COVID-19 masih lagi tinggi dengan kes kematian mencecah ratusan kes sehari. Selain itu, kes jangkitan pandemik ini akibat penularan varian Delta yang semakin dominan juga amat membimbangkan,” katanya kepada Bernama.

Dr Juliana yang berkhidmat di Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa melindungi golongan kanak-kanak daripada dijangkiti COVID-19.

Risiko kanak-kanak dijangkiti COVID-19 adalah lebih tinggi khususnya mereka yang berusia bawah usia 12 tahun dan belum divaksin, manakala jumlah yang dimasukkan ke hospital turut menunjukkan peningkatan ketara sejak berlakunya penularan varian Delta yang semakin dominan dalam negara.

Setakat 19 September, 67 kematian dalam kalangan kanak-kanak telah dilaporkan, berbanding enam kematian pada tahun 2020.

Sehingga 30 September, lebih 400,000 kes jangkitan COVID-19 melibatkan individu bawah 18 tahun direkodkan, meningkat daripada sekitar 12,000 pada tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 252,569 adalah murid sekolah manakala 42,831 lagi melibatkan kanak-kanak prasekolah.

Tip lindungi kanak-kanak

Dr Juliana menasihatkan ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak yang belum menerima suntikan vaksin ke kawasan tertutup, sempit dan sesak serta tidak mempunyai sistem pengaliran udara yang baik terutama yang menggunakan udara kitar semula.

“Pilih tempat yang mempunyai sirkulasi udara dengan kadar pertukaran udara luar yang bersih dan optimum. Boleh beriadah atau membawa anak keluar tetapi pastikan patuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan jaga kebersihan diri.

“Lakukan penilaian risiko yang bakal dihadapi sebelum membawa kanak-kanak ke lokasi tertentu.

Kita juga perlu sentiasa berjaga-jaga kerana individu yang ditemui di luar berisiko menularkan virus kepada keluarga kita,” katanya.

Beliau juga berpendapat suntikan vaksin kepada kanak-kanak hendaklah disegerakan kerana penularan varian Delta yang dilaporkan lebih pantas merebak sehingga menyebabkan peningkatan kes COVID-19 di banyak negara.

“Kanak-kanak merupakan kumpulan yang aktif serta sukar patuh disiplin atau memahami SOP, maka risiko jangkitan juga ditakuti lebih tinggi.

Mereka juga telah kembali ke sekolah, justeru vaksinasi hendaklah dipercepatkan bagi mengekang wujud kluster komuniti sekolah,” katanya.

Hampir dua tahun rakyat ‘bergelumang’ dengan pandemik COVID-19, Juliana berkata masyarakat hendaklah bersedia untuk menyesuaikan diri hidup bersama virus tersebut dengan menerapkan amalan norma baharu sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan seharian.

“Pembudayaan dan pengukuhan norma baharu seperti penjarakan fizikal serta jauhi tempat sesak perlu terus dilaksana serta diamalkan dalam kehidupan seharian. Golongan yang telah divaksinasi juga berpotensi menjadi punca penyebaran virus COVID-19 sekiranya mereka alpa dalam pematuhan SOP,” katanya.

Tunggu keputusan kajian

Sementara itu, Timbalan Pengarah dan Pakar Perunding Perubatan Respiratori, Hospital UiTM, Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail berkata data berkaitan keselamatan suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak bawah umur 12 tahun masih kurang ketika ini.

Malaysia perlu menunggu keputusan kajian dari dalam dan luar negara sebelum vaksin boleh diberikan kepada golongan berkenaan.

“Namun sekiranya kita berjaya memberikan vaksin kepada lebih 80 peratus populasi rakyat, InsyaAllah…dengan pematuhan SOP yang berterusan, kita boleh mengekang penularan jangkitan pandemik ini seterusnya melindungi persekitaran kanak-kanak.

“Perlu diingat meskipun populasi dewasa telah divaksin semakin meningkat, selain remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kita tidak boleh mengambil mudah SOP yang ditetapkan.

“Laporan dari luar negara menunjukkan peningkatan kes COVID-19 yang amat ketara apabila berlakunya kelonggaran SOP. Oleh itu pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, jauhi tempat sesak dan sempit serta kerap mencuci tangan hendaklah diteruskan,” katanya.

Kehidupan di fasa endemik COVID-19 memerlukan semua orang memainkan peranan lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri dan juga mereka di sekeliling.

Paling penting jangan sesekali terleka protokol kesihatan dalam proses ‘hidup bersama virus COVID-19’. Sentiasalah berjaga-jaga. – Bernama