Fasa kedua persekolahan tertakluk kepada keadaan semasa

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Fasa kedua sesi persekolahan adalah tertakluk kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan, di mana rancangan awal sesi persekolahan fasa kedua mungkin bermula dalam dua minggu lagi jika keadaan mengizinkan dan semuanya teratur.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai fasa kedua persekolahan semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan lagi, fasa kedua tersebut akan melibatkan pelajar-pelajar pra sekolah dan Tahun 1 hingga 5.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menambah dalam masa dua minggu ini, Kementerian Kesihatan akan membuat ujian rambang untuk guru-guru, di mana lebih 1,000 saringan untuk semua sekolah akan dibuat dan sudahpun dijadualkan untuk mereka diambil sampel.

Semasa sesi soal jawab tersebut juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah juga ditanyakan mengenai penerimaan orang ramai dalam pembukaan persekolahan fasa pertama.

“Kementerian Pendidikan telahpun mengadakan lawatan-lawatan ke sekolah-sekolah di keempat-empat daerah. Pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan telahpun membuat lawatan tersebut dan mendapati (respons) setelah berbincang dengan guru-guru dan juga pelajar-pelajar.

“Respons daripada murid-murid, mereka merasa gembira kerana dapat lagi kembali ke sekolah setelah lama berada di rumah.

“Guru-guru pula bersemangat untuk menerima anak-anak murid mereka,” kongsi Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Menyentuh mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah mengongsikan bahawa antara cabaran memulakan sesi persekolahan ialah kesesakan lalu lintas untuk menghantar dan mengambil anak-anak, pihak sekolah telahpun membuka tempat-tempat baharu untuk mereka dapat menghantar dan mengambil anak sekolah. Perkara ini akan selalu dipantau untuk menyenangkan ibu bapa dan pelajar-pelajar untuk diambil dan dihantar ke sekolah.

“Dalam kembali ke sekolah mereka, pelajar berhadapan dengan norma-norma baharu iaitu mempraktikkan penjarakan sosial dan kebersihan seperti menggunakan pensanitasi tangan.

“Diharapkan perkara ini dapat diatasi bukan sahaja oleh pelajar malahan guru-guru,” kata Yang Berhormat Menteri Pendidikan.