Fasa kedua vaksinasi COVID-19 bermula

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Fasa kedua program vaksinasi COVID-19 yang menumpukan golongan terdiri daripada guru-guru, kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak dan orang dewasa yang berisiko tinggi atau menghidap penyakit kronik bermula hari ini.

Mereka kini boleh mendapatkan suntikan vaksin masing-masing di kesemua pusat-pusat vaksinasi di negara ini. Selain itu, pemberian suntikan vaksin COVID-19 Moderna yang tiba di negara ini kelmarin dengan jumlah 50,400 dos dari Sepanyol juga bermula hari ini. Jumlah tersebut merupakan suku daripada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 200,000 dos yang akan diterima secara berfasa.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan kelmarin, Autoriti Kawalan Ubat-ubatan Negara Brunei Darussalam (BDMCA) telah mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 Moderna berikutan proses penilaian saintifik yang terperinci oleh Jawatankuasa Teknikal Vaksin COVID-19 Kebangsaan.

Pihak BDMCA juga telah memberikan kebenaran khas untuk pemberian vaksin COVID-19 Moderna di negara ini semasa keadaan kecemasan atau pandemik kesihatan awam.

James Han, 62, yang merupakan salah seorang penerima vaksin COVID-19 Moderna hari ini ketika ditemu bual Media Permata mengongsikan setakat ini beliau berasa sihat seperti biasa dan masih mampu untuk menjalankan pekerjaan sehariannya. Beliau yang menerima suntikan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu turut melahirkan rasa terima kasih kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana berpeluang untuk mendapatkan vaksin tersebut secara percuma.

“Kebanyakan rakyat negara-negara di luar sana sukar dan berebut untuk mendapatkan vaksin COVID-19, oleh yang demikian saya sangat bersyukur kerana program vaksinasi COVID-19 di negara begitu mudah dan lancar,” kongsi James Han di hujung temu bual.

James Han, salah seorang penerima suntikan vaksin COVID-19 Moderna di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Salah seorang warga emas yang telah berjaya menerima vaksin COVID-19 Moderna, kelmarin.
Orang ramai semasa membuat pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, kelmarin.