Fasa peralihan 19 Nov ini

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Fasa peralihan yang ditunggu-tunggu akan bermula pada 19 November nanti, setelah penduduk negara ini mencapai liputan vaksinasi penuh 70 peratus akan membenarkan perkumpulan ramai, pembukaan masjid, restoran, pejabat dan premis-premis lain bagi mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi dengan SOP tertentu masih dikekalkan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam fasa peralihan ini, katanya, negara akan menyaksikan pembukaan masjid, surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bagi individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan had keramaian tertakluk kepada jumlah yang sesuai mengikut penjarakan fizikal.

Manakala pembukaan pejabat-pejabat kerajaan akan beroperasi mengikut waktu bekerja sementara yang dikuatkuasakan pada masa sekarang iaitu dari pukul 8 pagi hingga 2 petang dan hanya membenarkan pegawai dan kakitangan yang lengkap vaksinasi dengan ujian saringan Antigen Rapid Test (ART) dilakukan secara berkala setiap dua minggu.

Di samping itu, perkumpulan ramai di tempat-tempat awam, termasuk fasiliti kesukanan dan pembukaan premis-premis perniagaan seperti restoran, kafe, medan selera, panggung wayang, arked, taman permainan tertutup, salon dan kedai gunting, pasar dan tamu semasa fasa peralihan adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi, dan dihadkan pada 50 peratus kapasiti tempat atau tidak lebih 200 orang yang mana lebih rendah, had itu juga dikenakan kepada tempat-tempat ibadat bagi agama lain.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mengumumkan mengenai fasa peralihan pada 19 November nanti.

Beliau menekankan pihak pengurusan adalah juga dikehendaki mematuhi garis panduan atau SOP termasuk mengemaskinikan senarai pekerja dalam aplikasi BruHealth dan memastikan pekerja me-reka juga telah melengkapkan vaksinasi mereka, premis-premis dikehendaki mendaftar QR kod masing-masing di dalam BruHealth dengan had kapasiti masing-masing di mana premis-premis tidak dibenarkan menerima pelanggan setelah mencapai had 50 peratus kapasiti berkenaan.

Pemilik premis juga hendaklah memastikan semua individu yang memasuki premis mengimbas aplikasi BruHealth termasuk semua pekerja, kakitangan, sukarelawan, pemilik premis untuk memastikan hanya individu yang mempunyai kod BruHealth hijau dan kuning dibenarkan masuk.

Selain itu, pemilik premis perlu memastikan semua pekerja, kakitangan, sukarelawan yang layak diberi vaksin telah divaksin sepenuhnya serta penggunaan pelitup muka kecuali ketika makan atau minum, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter, pemantauan kesihatan diri dan ujian ART berkala serta memastikan premis mempunyai pengudaraan yang mencukupi.

Yang Berhormat Dato menjelaskan perkumpulan di rumah-rumah persendirian semasa fasa itu adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan dihadkan kepada 10 hingga 30 orang sahaja iaitu tertakluk kepada saiz tempat kediaman.

Sementara itu, pembukaan sebahagian sekolah-sekolah bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan membuat ujian saringan ART secara berkala iaitu setiap dua minggu bagi institusi pengajian tinggi, sekolah teknikal dan kemahiran serta sekolah memandu.

“Bagi yang tidak dapat mendapatkan vaksinasi atas sebab kesihatan (medically-exempted) – adalah tidak dibenarkan memasuki mengunju-ngi premis di atas,” katanya.

Syarat vaksinasi mandatori, tambahnya, adalah dilaratkan kepada tenaga pengajar, pekerja-pekerja persekolahan lain (non-teaching staff), petugas dan penjaga di sekolah-sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak, pelatih-pelatih dan sebagainya.

“Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai sebab-sebab kesihatan seperti alahan akan dikecualikan daripada syarat ini iaitu berdasarkan pengesahan perubatan yang diberikan,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Sementara itu, perancangan dan persiapan pembukaan sekolah adalah masih dalam penelitian jawatankuasa pandu, dengan mengambil kira aktiviti Program Vaksinasi Kebangsaan masih dijalankan bagi remaja di peringkat umur 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak di bawah 12 tahun masih belum divaksinasi.

Tatacara pelaksanaan pembukaan sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak dan institusi pengajian lain akan diumumkan pada satu tarikh akan datang iaitu sebaik saja Jawatankuasa Pandu COVID-19 selesai meneliti perancangannya.

“Sebagai persediaan seterusnya bagi pelaksanaan fasa endemik iaitu apabila kadar vaksinasi lengkap COVID-19 mencapai 80 peratus, jawatan-kuasa pandu akan meneliti cadangan untuk mengenakan bayaran ujian ART bagi individu-individu yang tidak melengkapkan vaksinasi mereka tetapi berniat untuk memasuki mana-mana premis kerajaan dan perniagaan di negara ini,” tambahnya.

Sebagai langkah keselamatan, setentunya perancangan pembukaan-pembukaan ini juga merangkumi keperluan untuk memastikan segala SOP diteruskan seperti penjarakan fizikal, kapasiti yang dihadkan, pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan, penggunaan aplikasi BruHealth dan penggunaan ART adalah digalakkan sebelum memasuki premis-premis.