Fasa Peralihan: denda sehingga $5,000 langgar arahan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV– Denda antara $100 hingga $5,000 akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati melanggar garis panduan semasa Fasa Peralihan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato menjelaskan denda kompaun sebanyak $5,000 bagi setiap kesalahan akan dikenakan ke atas pemilik atau pengurus premis atau penganjur acara bagi kesalahan melebihi jumlah had kapasiti yang dibenarkan di premis atau majlis keramaian di rumah ataupun di premis lain, yang mana had yang dikenakan adalah termasuk pekerja perkhidmatan seperti pekerja katering dan penganjur.

Sementara denda kompaun sebanyak $2,000 bagi setiap kesalahan akan dikenakan kepada pemilik atau pengurus premis atau penganjur acara, yang membenarkan individu (termasuk pekerja mereka) yang belum melengkapkan vaksinasi untuk memasuki premis.

Denda kompaun itu dikecualikan kepada pekerja kritikal yang diperlukan menjalankan kerja-kerja mustahak dengan syarat tempat bertugas adalah berasingan dan tidak dikunjungi oleh orang awam.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sesi sidang media harian, kelmarin. Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Semasa Fasa Peralihan, individu yang didapati melanggar peraturan arahan berada di rumah bermula 10 malam hingga 4 pagi adalah dikekalkan sebanyak $500.- Gambar serahan PPDB

Pengumuman jumlah denda kompaun tersebut berikutan perlaksanaan Fasa Peralihan di bawah Rangka Kerja Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang akan bermula esok.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa sebarang pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19 adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204). Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menjelaskan kesalahan tidak memakai pelitup muka bagi pekerja di premis-premis perniagaan, denda kompaun sebanyak $100 seorang akan dikenakan kepada pekerja yang didapati melanggar peraturan tersebut.

Seterusnya, bagi kesalahan ke atas individu tidak lengkap vaksinasi yang memasuki mana-mana premis, denda kompaun sebanyak $100 seorang akan dikenakan kepada individu berkenaan. Manakala jumlah denda kompaun bagi mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan arahan untuk berada di rumah bermula jam 10 malam hingga ke 4 pagi di bawah Operasi Peralihan adalah dikekalkan iaitu sebanyak $500 bagi setiap kesalahan.

“Semasa Fasa Peralihan ini, pihak keselamatan dan penguat kuasa akan terus membuat pemantauan terhadap sebarang insiden pelanggaran peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terpelihara,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Orang awam bolehlah menghubungi Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 yang beroperasi selama 24 jam setiap hari, bagi sebarang aduan pelanggaran garis panduan, di talian-talian hotline yang dapat dihubungi iaitu 8176148; 8175148; 8166148; atau 8155148.