Fasa peralihan: Jangan leka, laksana tanggungjawab

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan mengenai pengemaskinian fasa peralihan di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 yang akan bermula pada 19 November nanti.

“Sebagaimana kita semakin mencapai sasaran 70 peratus, di sinilah akan bermula fasa peralihan iaitu satu fasa di mana langkah-langkah pengawalan yang telah dilaksanakan sebelum ini akan mula dikurangkan secara berperingkat.

“Pengurangan sekatan-sekatan ini akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang disesuaikan yang bertujuan untuk mengawal lebih baik serta mengelakkan kesan jangkitan yang teruk melalui pelaksanaan strategi seperti program pemberian vaksin penggalak dan pembukaan premis dengan kapasiti terhad dan keutamaan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap,” jelas Menteri di JPM dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media hari ini.

Semasa fasa itu, Yang Berhormat Dato berkata, kita hendaklah sentiasa bekerjasama dan berjaga-jaga dalam mematuhi dasar, undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan dalam sama-sama mengawal COVID-19, di samping memastikan pihak keselamatan untuk terus membuat pemantauan terhadap sebarang pelanggaran SOP.

“Ini kerana kajian telah mendapati bahawa virus ini tidak akan dapat dihapuskan dan akan merebak sekali lagi dengan cepat jika kita tidak patuh dengan arahan-arahan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara lain yang menghadapi gelombang-gelombang baharu selepas melonggarkan sekatan, mereka telah menyaksikan lonjakan kes dan sistem penjagaan kesihatan menghadapi tekanan.

“Kita hendaklah mengambil iktibar daripada situasi begini dan perlulah bersiap sedia daripada segala kemungkinan pada masa akan datang.”

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai untuk tidak leka dan segala usaha kita akan menjadi sia-sia kalau orang ramai tidak memikul tanggungjawab mereka dalam mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan, manakala sektor kerajaan dan swasta hendaklah terus mengadaptasikan norma baharu dengan mengutamakan kesihatan para pekerja dan pada masa yang sama meneruskan produktiviti dalam bekerja.

“Jika semua perkara berjalan dengan lancar, barulah kita boleh membuat persiapan untuk beralih kepada fasa endemik, tertakluk kepada data-data yang dianalisis semasa fasa peralihan ini.

“Ini semua merupakan cara penyelesaian yang terbaik bagi kita dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini, di mana setentunya tidak ada penyelesaian yang sempurna di seluruh dunia.

“Walaupun kita tidak boleh menghapuskan virus ini, namun kita hendaklah menyesuaikan diri untuk belajar hidup dengan virus ini pasca pandemik COVID-19 nanti supaya kita akan dapat menerapkan norma baharu dalam kehidupan seharian,” tambahnya.