Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Bank Islam Negara Brunei Darussalam (BIBD) telah menutup fasa pertama Program Special Underprivileged Mothers Empowerment Entrepreneurship Development (SEED) dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di Pusat Dakwa Islamiah (PDI).
Majlis penandatanganan MoU antara BIBD, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), PDI di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu juga menyaksikan penyampaian sijil tamat program kepada 12 orang peserta terpilih yang layak ke fasa kedua program SEED BIBD.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Fasa pertama Program SEED BIBD telah diadakan pada 16 hingga 19 Oktober lalu dengan proses pemilihan diadakan sepanjang bengkel keusahawanan tersebut.
Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dalam ucapannya pada majlis itu berkata, “AIhamdulillah, kerjasama sektor awam-swasta yang merangkumi pendekatan seluruh negara akan berusaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat Brunei Darussalam dengan membangunkan keupayaan manusia, khususnya bagi yang kurang bernasib baik.


“Insya-Allah ini akan mencipta individu yang lebih mahir seperti diukur oleh piawaian antarabangsa yang akan menyumbang ke arah masa depan Brunei Darussalam yang mapan, dinamik dan progresif,” tambahnya.
Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah pula berkata bahawa bahagian program berhasrat mengubah kehidupan ibu-ibu yang kurang bernasib baik melalui keusahawanan yang berjaya.
“SEED BlBD adalah program yang komprehensif meliputi beberapa fasa dengan
tema Self Discovery and Values Set up; Starting Your Business; Developing Products and Services dan Entering the Market.”
Menurut beliau, tidak mustahil perusahaan yang dijalankan secara berterusan dan mendapat bimbingan yang betul, boleh dikembangkan menjadi satu entiti perniagaan yang mampu memberikan keuntungan bukan saja kepada peserta BIBD SEED, malah kepada negara.
Manakala itu, ibu tunggal, Dayang Nurulhanisah binti Brahim dalam ucapannya sebagai wakil peserta berkata bahawa mereka tersentuh atas kepercayaan BlBD dalam produk mereka yang pada masa lalu adalah sukar untuk diperolehi.
“Orang ramai tidak mempercayai kemampuan kami untuk menjadi ahli perniagaan wanita yang berjaya.
“Kami akan berusaha untuk kejayaan kami demi anak-anak kami. Kami tidak mahu anak-anak kami terjejas akibat kegagalan, kesedihan dan masalah kemiskinan,” tekannya lagi.
Juga hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop dan Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohammad Tahir.