Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fasa projek SSLR capai 38 peratus perlaksanaan setakat September

    KUALA LUMPUR, 4 NOV – Status kemajuan fasa satu Projek Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) melibatkan jajaran Lawas ke Persimpangan Long Lopeng di Sarawak telah mencapai 38 peratus pelaksanaan setakat September 2024, demikian Dewan Rakyat diberitahu.

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jajaran projek bermula di Kampung Gelugus, Lawas hingga Persimpangan Long Lopeng dengan anggaran panjang 77 kilometer (km) itu dijangka siap pada November 2026.

    Beliau berkata Surat Setuju Terima (SST) bagi fasa kedua projek SSLR pula telah dikeluarkan pada Mac lepas.

    “Projek ini melibatkan empat pakej dan jajaran sepanjang anggaran 322km dengan status terkini bagi projek ini sedang dalam peringkat pengambilan balik tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Negeri Sarawak dan pembersihan tapak oleh kontraktor di beberapa kawasan yang telah selesai urusan.

    “Tempoh pelaksanaan Projek SSLR Fasa 2 dijangka selama lima tahun,” katanya menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram), mengenai status dan jadual pelaksanaan SSLR pada sesi soal jawab hari ini.

    Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), berhubung pemberian tender secara prakelayakan terpilih bagi Fasa 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo (Sabah) kepada syarikat bukan bumiputera Sabah, Ahmad berkata majoriti syarikat yang sudah memperoleh SST adalah dari Sabah.

    “Bagi Pakej 1A dan 1B (Pan Borneo Sabah) sekarang ini sudah diberikan SST kepada 14 syarikat yang daripada jumlah itu, 10 adalah dari Sabah.

    “Kita juga menetapkan bukan hanya syarikat di Sabah untuk melaksanakan projek di negeri itu, tetapi  turut memberi peluang kepada syarikat dari Sarawak dan Semenanjung,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda