Fasha sambut Aidiladha secara sederhana

Terkejut mendengar cerita masih ada segelintir pihak berdegil dan merentas negeri untuk beraya di kampung, Fasha Sandha menyuarakan pandangan betapa pentingnya sifat empati dan simpati ditanam dalam diri setiap insan.

Fasha berkata, semua orang rindu untuk menyambut hari raya di kampung, namun perbuatan segelintir pihak yang degil dan melanggar peraturan, memberi kesan kepada pihak lain yang akur saranan kerajaan.

“Rata-rata yang mendengar kata larangan rentas daerah dan negeri, pasti rasa ralat. Kita semua tiada pilihan… Kita tidak boleh syok sendiri.

“Kalau beginilah sikap negatif segelintir daripada kita, sukar hendak menebak sampai bila kita akan bergelut (hidup dengan ancaman pandemik COVID-19).

“Jangan balik kampung sesuka hati. Usah sesuka hati buat ziarah raya. Fikir perasaan orang lain… Boleh tak ada rasa empati dan simpati?” katanya kepada BH Online. Mengenai sambutan Aidiladha, Fasha meraikannya bersama keluarga di ibu negara.

Fasha berharap masyarakat terus menjaga SOP agar rantaian pandemik COVID-19 dapat diputuskan. – Agensi

“Kami sambut Aidiladha dengan sederhana. Lazimnya, bagi keluarga saya, Aidilfitri lebih meriah.

“Paling utama, kita terus biasakan diri dengan norma baharu. Duduk rumah jika tiada keperluan untuk keluar… Itulah erti pengorbanan kita menyambut Aidiladha,” katanya.

Fasha berkata, anak-anak juga sudah faham situasi dihadapi sekarang dan tidak membuat sebarang permintaan menyambut Aidiladha.

“Kita sambut seadanya… Apa yang penting, keluarga tersayang bersama kita dan kita jaga diri masing-masing,” kata isteri kepada Aidil Aziz ini.

Ibu kepada Putra Rayfal Ramli, Putri Raysha Jemyma dan Aisha Amira ini berharap masyarakat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam rutin harian bagi mengawal penularan COVID-19. – Agensi