Fasha timang anak perempuan

Aktres, Fasha Sandha selamat melahirkan anak damit perempuan secara pembedahan, jam 10:14 pagi, sekali gus mengambil keberkatan Jumaat, hari ini.

Suaminya, Aidil Aziz berkongsi berita gembira dengan mengalu-alukan kelahiran anak damit yang digelar Baby A itu di laman Instagram (IG).

“Alhamdulillah, isteri dan anak saya dalam keadaan sihat, selamat dan stabil. Terima kasih Allah atas kurniaan rezeki ini.

“Terima kasih juga buat isteriku kerana menjaga kandungan anak kita selama ini. Saya akan mengambil cuti sebulan sebarang kerja termasuk berlakon untuk menjaga dan menemaninya berpantang.

“Buat peminat, terima kasih mendoakan kami sekeluarga. Semoga rezeki lebih luas untuk anda semua,” kata Aidil kepada media.

Bergelar suami dan kini bapa, pastinya ia menjadi fasa serta tanggungjawab baru kepada Aidil.

“Semoga semua dipermudahkan,” katanya.

Fasha dan Aidil, 30, bernikah pada 30 Mac 2019. Ini perkahwinan pertama buat Aidil dan kali kedua bagi Fasha.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Fasha dikurniakan dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima. – Agensi

Fasha Sandha selamat melahirkan anak damit perempuan hasil perkahwinan dengan suaminya, Aidil Aziz. – Agensi