FASS UBD anjur Forum Brunei-Malaysia ke-4

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dengan tema ‘Rangkaian-rangkaian Trans-Asia: Kesinambungan dan Perubahan’, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Forum Brunei-Malaysia ke-4 yang diadakan secara dalam talian selama dua hari bermula hari ini.

Forum telah dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UBD, Profesor Madya Dr Abby Tan Chee Hong manakala itu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dekan FASS UBD, Prof esor Madya Dr Haji Noor Azam bin OKMB Haji Othman dan Dekan FASS Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Danny Wong Tze Ken.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, ucaptama yang bertajuk ‘Masa Depan dari Masa Lalu: 35 Tahun Hubungan Dua Hala UBD-UM’ disampaikan oleh Profesor Madya Dr Gary Jones yang merupakan mantan akademik di UBD sehingga beliau bersara sepenuhnya pada awal tahun ini setelah berkhidmat sejak UBD mula dirasmikan pada 1985.

Prof Madya Dr Gary Jones menekankan perkembangan hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia melalui kerjasama UBD dan UM.

Menurut beliau, kerjasama berterusan antara kedua-dua universiti, termasuklah persidangan serantau itu telah memberi impak kepada perkembangan sistem pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

Forum Brunei-Malaysia ke-4 yang diadakan secara dalam talian kelmarin. – Gambar serahan UBD

Selain itu, beliau turut mengutarakan beberapa pandangan mengenai inisiatif kerjasama pada masa hadapan.

Kenyataan menyatakan, 54 makalah menggunakan bahasa perantaraan Bahasa Melayu dan Inggeris dibentangkan dalam 16 sesi panel itu antara lain mengetengahkan tema seperti ‘Kontemporari Brunei’, ‘Dunia Melayu’, ‘Isu Belia dan Sosial’, ‘Persekitaran dan Transformasi’, ‘Pandemik COVID-19’, ‘Islam, Media dan Pelancongan’, ‘Sejarah Brunei’, dan ‘Isu-isu Berkaitan Bahasa Inggeris dan Pengajaran Bahasa’.

Forum BMF itu dihadiri oleh para pengkaji dan ahli-ahli akademik dari kementerian-kementerian di dalam negara, institusi-institusi pendidikan tinggi dan sekolah-sekolah kerajaan dan swasta.

Forum BMF julung kalinya diadakan pada 2014 di UM dengan kerjasama FASS, UBD. Ia dihadiri oleh para sarjana dan siswazah dari kedua-dua buah universiti.

Sebilangan besar makalah ahli-ahli akademik UBD yang dibentangkan dalam forum tersebut telah diterbitkan dalam prosiding. Ia merupakan persetujuan bersama bahawa BMF akan terus diadakan setiap dua tahun di UBD dan UM secara bergilir.