Fassbender capai impian ke Le Mans

Oleh Syahmi Hassan

Gambar serahan Porsche

STUTTGART – Pelakon Jerman-Ireland, Michael Fassbender yang berusia 42 tahun bakal mencapai impiannya apabila mula bersaing di litar lumba bagi musim pertama dalam European Le Mans Series tahun ini.

Dalam perlumbaan itu, beliau akan memandu Porsche 911 RSR spesifikasi 2017 untuk skuad pelanggan Proton Competition.

Dengan disokong oleh Porsche, Fassbender mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan peribadinya Road to Le Mans pada siri ketahanan (endurance) tahun ini.

Menurut kenyataan yang diterima, Fassbender sudah lama memasang impian untuk berlumba malah sebelum beliau menceburi bidang lakonan lagi.

“Sangat jelas bagi saya, sewaktu kecil ayah saya suka memandu dan dia banyak mengajar saya,” kata Fassbender yang mengongsikan minatnya dalam perlumbaan motor.

Michael Fassbender pelakon Jerman-Ireland mencapai impiannya dalam litar lumba Road to Le Mans.
Michael Fassbender ketika memandu Porsche 911 GT3 Cup semasa menyertai Porsche Racing Experience.

Porsche 911 GT3 Cup yang digunakan dalam litar perlumbaan.
Michael Fassbender (kanan) ketika berbincang bersama Felipe Fernandez Laser.

Fassbender mula berjinak-jinak mengejar karier perlumbaan dengan menyertai Porsche Driving Experience.

Program peringkat permulaan untuk peminat perlumbaan itu merangkumi sesi latihan dengan Porsche 911 485 hp GT3 Cup.

Setelah selesai sesi tersebut, pelakon kelahiran Heidelberg itu mara ke Porsche Racing Experience.

Fassbender mendapat sokongan perkhidmatan penuh, yang secara khusus disesuaikan dengan kehendaknya dengan tiga peringkat dan perlumbaan berturut-turut sebagai sebahagian daripada Porsche Sports Cup.

Dalam perjalanan bagi Pertandingan 24 Hours of Le Mans, beliau berjaya menamatkan program latihan Porsche Tahap 2.

Untuk itu, Fassbender bertanding pada musim sepenuhnya Porsche Sports Cup Deutschland dengan memandu Porsche 911 GT3 Cup yang mana para peminat boleh menyaksikan perjalanan beliau dalam siri YouTube Road to Le Mans di www.porsche.com/roadtolemans.

Dengan beralih kepada European Le Mans Series, Fassbender kini mara ke tahap seterusnya dalam kerjaya sukan permotorannya.

“Ia sesuatu yang sangat indah dapat menakluki projek baharu. Ini sesuatu yang sangat istimewa,” kata pemilik pasukan Proton Competition, Christian Ried.

“Menyaksikan bagaimana Michael berkembang maju adalah sesuatu yang cukup menarik. Sebagai satu pasukan, kami gembira dapat menemaninya ke Road to Le Mans,” tambahnya.

Porsche juga menyertai peringkat ini menuju Le Mans dan akan mengeluarkan dokumentari musim kedua Road to Le Mans pada akhir tahun ini.

Fassbender berkongsi ruang No. 93 Porsche 911 RSR dengan pemandu kerja Porsche, Richard Lietz (Austria) dan Felipe Fernández Laser (Jerman).

“Porsche menawarkan kenderaan daripada 718 Cayman GT4 Clubsport hingga 911 RSR kepada pelanggan yang ingin merealisasikan impian mereka.

“Michael Fassbender mengimpikan Le Mans. Ianya sungguh mengujakan untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan ini dan saya berhasrat untuk membantunya sedikit mencapai imipiannya dengan menawarkan sumbangan saya,” jelas Lietz.

European Le Mans Series Musim 2020 terdiri daripada enam acara, bermula dengan hari ujian di Le Castellet (Perancis) pada 15 Julai lalu, diikuti dengan perlumbaan pertama di tempat yang sama pada 19 Julai lalu.

Seterusnya adalah Spa-Francorchamps (9 Ogos; Belgium), kemudian Barcelona (29 Ogos; Sepanyol), Monza (11 Oktober; Itali) dan Portimão (1 November; Portugal).

Setiap acara merangkumi perlumbaan selama empat jam. Fassbender bertanding untuk Proton Competition di kelas LM GTE – kategori GT bagi siri jarak jauh.