WENZHOU – China merupakan pengeluar dan pengguna tekstil terbesar di dunia, membuang 26 juta tan pakaian setiap tahun, kebanyakannya diperbuat daripada bahan sintetik yang tidak dapat dikitar semula.
Sebuah kilang kitar semula di wilayah Zhejiang di pantai timur China menggunakan semula pakaian kapas terbuang untuk cuba menangani masalah sisa yang mendesak.
Begitu juga dengan pereka muda yang inovatif di Danghai, dengan mengubah pakaian lama menjadi pakaian baharu atau mencipta pakaian daripada bahan buangan seperti botol plastik, jala, guni beras malahan daun nanas.
Namun, usaha-usaha ini tidak memberikan impak yang besar berbanding jenama fesyen pantas gergasi yang menghasilkan pakaian sintetik murah untuk pengguna yang semakin berkembang di seluruh dunia.
Pakar percaya perubahan sebenar hanya boleh dicapai melalui aliran kerja sifar sisa yang sukar untuk dilakukan atau dengan campur tangan kerajaan China.
Berikut adalah petikan penting daripada laporan The Associated Press (AP):
HANYA KAPAS DIKITAR SEMULA
Di Syarikat Tekstil Wenzhou Tiancheng, timbunan pakaian kapas terbuang, dipisahkan kepada warna gelap dan terang, berlonggok di atas lantai sebuah bilik kerja. Lengan jaket, kolar dan label jenama terkeluar daripada timbunan tersebut ketika pekerja memasukkan pakaian ke dalam mesin cabik.
Ini adalah peringkat pertama kehidupan baharu untuk tekstil tersebut di salah satu kilang kitar semula kapas terbesar di China.
Namun, kilang-kilang seperti ini sukar memberikan impak di sebuah negara yang industri pakaiannya didominasi oleh fast fashion (industri tekstil yang memiliki pelbagai trend fesyen yang silih berganti dalam waktu singkat) – pakaian murah yang diperbuat daripada sintetik, bukan kapas.
Dihasilkan daripada petrokimia yang menyumbang kepada perubahan iklim, pencemaran udara dan air, bahan sintetik menyumbang 70 peratus daripada jualan pakaian domestik di China.
Sisa tekstil merupakan masalah global yang mendesak, dengan hanya 12 peratus dikitar semula di seluruh dunia, menurut organisasi fesyen lestari, Yayasan Elllen MacArthur.
Malah hanya 1 peratus pakaian terbuang dikitar semula menjadi pakaian baharu. Di China, hanya kira-kira 20 peratus tekstil dikitar semula, menurut kerajaan China – dan hampir semuanya adalah kapas.
Untuk mencapai impak yang ketara, apa yang digelar oleh pakar fesyen, Shaway Yeh sebagai ‘kemampanan kitaran’ diperlukan dalam kalangan jenama pakaian utama China supaya sisa dapat dielakkan sepenuhnya.
“Awda perlu memulakannya dengan serat yang boleh dikitar semula dan kemudian semua tekstil sisa ini akan digunakan semula,” katanya.
DICEMARI ISU BURUH PAKSA
Kapas China mempunyai masalahnya tersendiri, kata Claudia Bennett dari Yayasan Hak Asasi Manusia.
Kebanyakannya datang daripada buruh paksa di negara itu.
“Satu daripada lima pakaian kapas di seluruh dunia dikaitkan dengan buruh paksa,” kata Bennett.
Pada Mei, Amerika Syarikat (AS) menyekat import daripada 26 penjual kapas China bagi mengelakkan barangan yang dibuat dengan buruh paksa.
Tetapi kerana rantaian bekalan itu sangat mencurigakan, kapas Uyghur digunakan dalam penghasilan pakaian di negara-negara yang tidak mempunyai label ‘buatan China’, kata Bennett.
“Sangat banyak jenama pakaian yang dikaitkan dengan buruh paksa menerusi kapas tersebut,” katanya. Mereka ‘bersembunyi di sebalik kekurangan ketelusan dalam rantaian bekalan’.
SKOR RENDAH DALAM KEMAMPANAN
Menurut laporan daripada pemerhati fesyen bebas, Remake, yang menilai syarikat pakaian utama berdasarkan amalan alam sekitar, hak asasi manusia dan kesaksamaan, terdapat sedikit akauntabiliti dalam kalangan jenama paling terkenal.
Kumpulan tersebut memberikan Shein, yang menggabungkan kira-kira 6,000 kilang pakaian China di bawah labelnya, hanya enam daripada 150 mata yang mungkin. Gergasi e-dagang fesyen pantas China, Temu, mendapat skor sifar.
Juga mendapat skor sifar adalah label AS, SKIMS, yang diasaskan bersama oleh Kim Kardashian, dan jenama harga rendah, Fashion Nova.
Peruncit AS, Everlane mendapat skor tertinggi 40 mata, dengan hanya separuh untuk amalan kemampanan.
DASAR DOMESTIK TIDAK MEMBANTU
Kapas dikitar semula daripada pakaian terpakai dilarang digunakan untuk membuat pakaian baharu di dalam China. Peraturan tersebut pada mulanya bertujuan menghapuskan operasi kitar semula bahan tercemar yang tidak sah di China.
Tetapi kini ia bermakna gulungan besar benang kapas yang dihasilkan di kilang Wenzhou Tiancheng daripada pakaian terpakai hanya boleh dijual untuk eksport, kebanyakannya ke Eropah.
Lebih memburukkan lagi keadaan, kebanyakan pengguna China enggan membeli barangan terpakai, sesuatu yang dikaitkan oleh pengarah jualan kilang Wenzhou, Kowen Tang, dengan peningkatan pendapatan isi rumah.
“Mereka mahu membeli pakaian baharu, barangan baharu,” katanya.
FESYEN YANG MAMPAN
Dalam kalangan golongan muda China, kesedaran yang semakin meningkat mengenai kemampanan telah menyumbang kepada kemunculan perniagaan pakaian ‘dibuat semula’ yang masih baharu.
Pereka berusia 30 tahun, Da Bao, mengasaskan Times Remake pada 2019, jenama berpangkalan di Shanghai yang mengambil pakaian terpakai untuk mencipta fesyen baharu yang funki.
Usaha ini, yang bermula dengan Da Bao menyiarkan reka bentuk unik dalam talian, kini mempunyai kedai utama di Shanghai yang menyimpan pakaian buatan semula bersama barangan vintaj.
“Reka bentuknya merupakan kombinasi gaya masa lalu dan estetika fesyen semasa untuk mencipta sesuatu yang unik,” kata Bao.
Zhang Na mempunyai sebuah label fesyen, Reclothing Bank, yang menjual pakaian, beg dan aksesori lain yang diperbuat daripada bahan buangan seperti botol plastik, jaring ikan dan guni tepung.
Label barangan tersebut mempunyai kod QR menunjukkan komposisi, cara ia dibuat dan asal usul bahan tersebut.
Zhang menggunakan kaedah pengeluaran yang telah lama wujud, termasuk gentian tekstil yang diperbuat daripada daun nanas, tradisi berabad-abad yang berasal dari Filipina.
“Kami pada asasnya boleh membangunkan ribuan fabrik dan material baharu,” katanya. – AP