Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama menerusi Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama persatuan-persatuan mualaf seluruh negara telah mengadakan Projek Fathul Barakah 3.0, untuk memberi peluang kepada orang ramai memberikan infak jariah berupa keperluan asasi kepada asnaf mualaf yang memerlukan sebelum tibanya bulan Ramadan 1443 Hijrah.
Projek tersebut telah berjalan selama dua hari bermula 5 Mac hingga hari ini, secara serentak di PDI, Kampung Pulaie dan pejabat-pejabat Unit Dakwah di Daerah Belait, Tutong dan Temburong.
Penerimaan sumbangan telah dijalankan secara pandu lalu di PDI dan Unit Dakwah daerah-daerah tersebut.
Antara sumbangan yang diterima ialah seperti beras, gula, minyak masak, tepung, udang atau pusu kering, bawang, biskut, makanan dalam tin dan barang keperluan asasi yang bersesuaian.
Tujuan utama projek berkenaan diadakan adalah bagi sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan untuk kesejahteraan para mualaf di Negara Brunei Darussalam, di samping mengeratkan hubungan ukhuwah antara persatuan-persatuan mualaf seluruh negara dengan PDI.
Ia juga adalah sebagai satu dakwah bilmal dalam memeduli perkembangan kehidupan, kebajikan serta penghayatan agama Islam asnaf mualaf di negara ini agar terus dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan yang akan tiba.