Fati kurangkan tekanan Koeman

MADRID, 27 SEPT – Pemain Barcelona Ansu Fati kembali beraksi dan mencatat kepulangan terbaik selepas 10 bulan berehat akibat kecederaan untuk membantu pasukannya menumpaskan Levante 3-0 semalam, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap jurulatih Ronald Koeman.

Fati, memakai jersi nombor 10 yang sebelum ini menjadi milik Lionel Messi, masuk sebagai pemain gantian di Camp Nou, 323 hari selepas penampilan terakhirnya pada November tahun lalu.

Pemain berusia 18 tahun itu kembali dengan penuh bergaya, apabila membawa bola menghampiri petak penalti dan melepaskan rembatan rendah sehingga menerjah jaring pada masa kecederaan untuk membantu Barca meraih kemenangan yang sangat diperlukan.

Fati dijulang oleh rakan sepasukannya dan dia memanjat ke tempat duduk penonton di belakang bangku simpanan untuk memeluk ahli keluarganya dan staf perubatan pasukan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada doktor dan semua orang yang sentiasa bersama saya untuk mengharungi semua ini, begitu juga kepada penyokong, anda semua luar biasa,” katanya.

Selepas menjalani tiga pembedahan di bahagian lutut, ramai yang tertanya-tanya sama ada Fati mampu kembali kepada tahap terbaik seperti mana yang dipamerkan ketika pertama kali menyertai skuad utama pada 2019.

Perjalanan masih lagi panjang buat pemain remaja berkenaan namun kehadirannya dan gol yang luar biasa, menaikkan semula semangat di Camp Nou selepas suasana kucar-kacir beberapa minggu sebelum ini terutama mengenai masa depan Koeman. – AFP

Aksi pemain Barcelona Ansu Fati (atas) meraikan gol ketiga buat pasukannya semasa perlawanan Liga Sepanyol di antara FC Barcelona dan Levante UD di stadium Camp Nou di Barcelona pada 26 September. – AFP