Fattah, Fazura beri nafas baharu lagu Seloka Hari Raya

Pasangan selebriti popular Fattah Amin dan Fazura merakamkan semula lagu Hari Raya klasik berjudul Seloka Hari Raya yang dipopularkan oleh Hail Amir dan Uji Rashid sebagai hadiah buat peminat.

Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 30, mereka bersetuju untuk merakamkan versi baharu lagu tersebut kerana keunikannya yang tersendiri di samping unsur remix gubahan komposer Mel Ramlan.

“Semua orang tahu lagu ini ada tarikan yang tersendiri dan diminati ramai. Justeru apabila pihak label, Univeral Music Malaysia memberikan idea untuk kami merakamkan lagu ini, kami terus bersetuju.

“Saya sangat suka dengan versi baharu lagu ini yang ada unsur remix hasil gubahan komposer dan juga teman saya, Mel Ramlan.

“Sebelum itu, ada juga cadangan yang mahukan kami merakamkan lagu baharu tapi bila ada usul seperti ini, kami terima sahaja tawaran itu kerana secara tidak langsung kita meraikan lagu lama yang kita tahu mempunyai ramai peminat,” ujar Fattah.

Fattah, Fazura rakam semula lagu Seloka Hari Raya. – Agensi

Dalam pada itu, Fazura menjelaskan lagu yang dirakam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula merupakan hadiah untuk peminat yang sudah lama menantikan sebuah lagu duet Aidilifitri daripada mereka.

“Lagu ini dirakamkan sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kami rakam di studio namun dibuat secara berasingan kerana Fattah pada masa itu sibuk kerana terbabit penggambaran drama.

“Saya harap peminat akan menyukai lagu ini kerana ia juga adalah satu hadiah buat mereka yang menantikan sebuah lagu duet Hari Raya daripada kami,” jelas Fazura.

Tambahnya, idea untuk melancarkan muzik video lagu tersebut dalam bentuk animasi datang selepas penggambarannya terpaksa dibatalkan selepas pelaksanaan PKP.

“Pelaksanaan PKP membuatkan penggambaran muzik video ini terpaksa dibatalkan, Bagaimanapun, saya dan isteri tampil dengan idea iaitu kami akan muncul dalam muzik video itu dalam bentuk animasi.

“Konsep dan jalan cerita adalah cetusan idea kami berdua. Kami juga akan tonjolkan empat watak yang masih dirahsiakan identitinya. Kalau nak tahu siapa, kenalah tonton muzik video tersebut.

Lagu Seloka Hari Raya pasangan itu boleh didapati di semua pelantar digital mulai Jumaat, manakala video muzik dilancarkan pada 16 Mei di YouTube UMM. – Agensi