Fattah, Fazura rahsiakan jantina cahaya mata

Pelakon Fattah Amin berkongsi rasa teruja menantikan kelahiran anak sulungnya bersama isteri, pelakon Nur Fazura yang dijangka lahir pada Oktober depan.

Fattah, 30, berkata dia tidak sabar untuk menimang cahaya mata kerana ingin merasai sendiri pengalaman menjadi seorang bapa.

“Saya teruja sebab perasaan jadi seorang bapa tu saya tak pernah alami. Apabila anak kami lahir, saya nak dukung sendiri.

“Adik saya pun baru melahirkan, tapi perasaan pegang dan dukung anak kecil dia tu tak sama. Itu yang saya nantikan,” katanya kepada mStar.

Pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini sempat bercerita tentang kerenah Fazura yang semakin manja dan tidak mahu Fattah keluar menjalani penggambaran.

Fattah Amin turut mengongsikan kerenah isterinya yang manja ketika mengandung.- Agensi

“Apabila Faz hamil, dia punya manja, siap cakap kalau boleh tak nak saya pergi penggambaran.

“Tapi saya kata tak boleh la sampai macam tu, nasib baik Faz memahami,” ujarnya.

Bercerita tentang jantina cahaya mata sulung pasangan ini, Fattah berkata dia dan Fazura berhasrat merahsiakannya kerana mahu peminat merasa teruja dengan berita itu.

“Surprise! Nanti kami akan beritahu. Biarlah peminat rasa teruja apabila diumumkan nanti.

“Kami tak kisah lelaki atau perempuan sebab yang penting anak kecil tu sempurna dan sihat. Itu saja yang kami harapkan,” jelasnya.- Agensi