Fattah sentiasa di sisi Fazura, hitung waktu…

Pelakon Fattah Amin sangat terkesan dengan sikap kerja keras isterinya yang juga pelakon, Nur Fazura apabila masih lagi bekerja walaupun sarat hamil anak sulung mereka.

Pelakon filem Miimaland itu berkata, justeru dia sentiasa meluangkan masa dengan isterinya memandangkan hanya tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum mereka bergelar ibu bapa.

“Hanya tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum isteri saya bersalin. Tapi, saya sendiri kadang-kadang bersimpati dengannya kerana masih rajin bekerja kerana dia seorang ‘workaholic’.

“Jadi, untuk pastikan dia berada dalam keadaan baik, saya sentiasa ada dan luangkan masa dengannya,” katanya kepada MyMetro.

Berkongsi mengenai persediaannya sebelum bergelar bapa, Fattah berkata, dia dan isteri sudah mempersiapkan barangan untuk anak damit mereka.

“Saya dah beli beberapa barangan keperluan yang dirasakan penting untuk anak damit kami.

“Selain itu, ada juga beberapa penelitian yang saya buat mengenai bagaimana menjadi bapa di samping meminta nasihat daripada mereka yang berpengalaman, terutama dalam kalangan keluarga,” katanya.  Ditanya mengenai nama anak, Fattah enggan mengulas lanjut.

“Nantikan,” jawabnya ringkas.

Terbaru, Fattah hadir dengan filem lakonannya berjudul Miimaland dan lagu berkonsepkan ketuhanan berjudul Kiriman Agung. – Agensi

Fattah Amin risau sikap kerja keras isterinya, Nur Fazura apabila masih lagi bekerja walaupun sarat hamil. – Agensi