Fauci: AS perlu pertimbang mandat vaksin bagi perjalanan udara domestik

WASHINGTON, 28 DIS – Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci (gambar) berkata negaranya harus mempertimbangkan mandat vaksinasi bagi perjalanan udara domestik, menandakan kemungkinan pelaksanaan idea pentadbiran Biden yang sebelumnya dielakkan, ketika kes COVID-19 memuncak.

Fauci, ketua penasihat sains Presiden Joe Biden berhubung respons pandemik, berkata mandat seumpamanya mungkin dapat meningkatkan kadar vaksinasi yang perlahan di negara itu serta memberikan perlindungan dalam penerbangan, yang mana peraturan persekutuan memerlukan individu berusia dua tahun ke atas untuk memakai pelitup muka.

“Apabila anda menjadikan vaksinasi itu satu keperluan, ia merupakan insentif lain untuk mendapatkan orang ramai divaksinasi,” kata Fauci kepada MSNBC kelmarin.

“Jika anda tidak mahu melakukannya dengan penerbangan domestik, saya rasa sesuatu yang serius perlu dipertimbangkan.”

Pentadbiran Biden setakat ini enggan untuk mengenakan kewajipan vaksinasi bagi perjalanan udara domestik.

Dua pegawai berkata penasihat sains Biden belum lagi membuat rekomendasi rasmi bagi keperluan seumpamanya kepada presiden.

AS pada masa ini mengenakan mandat kepada warga asing yang berkunjung ke AS untuk sepenuhnya divaksinasi, walaupun rakyat dan penduduk tetap hanya perlu menunjukkan bukti ujian negatif yang diambil dalam masa sehari hendak membuat perjalanan. – AP