Fazley dilantik Duta Pelancongan Halal Taiwan

TAIPEI – Selebriti chef Datuk Fazley Yaakob dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal, Taiwan bagi mempromosi aspek pelancongan negara itu.

Fazley, 39, berkata, pelantikan tersebut juga bertujuan menepis perasaan kurang yakin dan keraguan pelancong Malaysia untuk datang ke Taiwan.

“Masih ramai yang tidak tahu bahawa ibu kota Taiwan, Taipei sebenarnya menyediakan banyak kemudahan untuk orang Islam terutama makanan halal, hotel yang menunjukkan arah kiblat serta penyediaan sejadah dan tandas awam bersesuaian kegunaan kita.

“Tidak hanya itu, puluhan brosur disediakan sebagai panduan untuk mencari restoran atau kafe halal di sana,” ujarnya.

Fazley ditemui pada majlis perlantikannya sebagai Duta Pelancongan Halal ke Taiwan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Taipei.

Fazley (kanan) berharap pelantikan tersebut dapat memberi pendedahan lebih luas kepada individu yang ingin melancong ke Taiwan.
Fazley (kanan) berharap pelantikan tersebut dapat memberi pendedahan lebih luas kepada individu yang ingin melancong ke Taiwan.

Sementara itu, Fazley berkata, pelantikan itu bermula secara lisan beberapa bulan lalu apabila dia terlibat beberapa kali dalam program anjuran Biro Pelancongan Taiwan.

“Saya telah memenangi pertandingan masakan itu sehingga mendapat liputan menyeluruh daripada pihak media Taiwan, Jepun dan China.

“Sejak itu, saya sering mendapat undangan bagi mempromosikan Taiwan termasuk di Kuala Lumpur sehingga mereka melantik saya sebagai duta pelancongan halal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fazley berharap pelantikan tersebut dapat mendedahan lebih luas kepada masyarakat Malaysia yang ingin melancong ke Taiwan.

Tidak perlu berasa malu atau segan. Insya-Allah, saya cuba menjawab setiap pertanyaan anda. Sebagai duta, saya ibarat tour guide kepada ramai pelancong,” ujarnya.