Fazli Zainal hilang ingatan akibat tekanan darah tinggi

Gara-gara stres memikirkan hal kerja, penyanyi Fazli Zainal mengalami tekanan darah tinggi dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Fazli, 43, doktor memaklumkan dia mengalami bengkak di bahagian otak hingga menyebabkan kehilangan memori jangka pendek.

“Alhamdulillah pagi ini saya dah dibenarkan keluar ICU, doktor sedang memantau keadaan kesihatan saya dan meminta saya berehat jangan fikir apa-apa… sampai bila saya akan duduk di wad pun tak pasti lagi,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Fazli difahamkan mengalami hilang ingatan jangka pendek ketika berada di Cheras bersama dua orang rakannya. Sementara itu, penyanyi lagu Mantan Yang Terluka ini memberitahu ini merupakan pengalaman pertama dia diserang tekanan darah tinggi hingga hilang ingatan.

Fazli bagaimanapun bersyukur kerana cepat mendapatkan rawatan sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“InsyaAllah doktor akan merawat saya dengan baik. Terima kasih pada mereka yang tak henti-henti tanya khabar saya pagi ini. Doakan saya tak apa-apa dan cepat pulih ya,” katanya.

Sebelum ini Fazli pernah dirawat selama 29 hari di Hospital Ampang kerana tahap oksigen dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat COVID-19. Fazli dibenarkan pulang pada 28 Ogos lalu selain sudah lengkap dua dos vaksin. – Agensi

Menurut Fazli, doktor memaklumkan dia mengalami bengkak di bahagian otak hingga menyebabkan kehilangan memori jangka pendek. – Agensi