Fazura bebas dakwaan langgar kontrak

Pelakon Nur Fazura dan syarikat rakaman muzik bebas daripada dakwaan melanggar perjanjian selepas seorang pemilik syarikat perniagaan gagal dalam samannya terhadap selebriti itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Firuz Jaffril menolak tuntutan saman yang difailkan Narhamdan Abd Malek selaku plaintif ketika membuat keputusan berkenaan.

Mohd Firuz berkata tiada sebarang pelanggaran kontrak antara plantif dengan Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Shariffudin selaku defendan pertama.

Plaintif turut diarahkan membayar kos masing-masing RM40,000 untuk setiap defendan.

Narhamdan Abd Malek, yang memiliki dan menjual produk kesihatan memfailkan saman pada 16 Disember 2017 dengan menamakan Nur Fazura, 37, dan sebuah syarikat rakaman muzik sebagai defendan pertama dan kedua.

Fazura bersyukur keputusan mahkamah memihak kepadanya. – Agensi

Dalam penyataan tuntutan, Narhamdan selaku plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan sebuah syarikat rakaman muzik supaya Nur Fazura memasarkan sebuah produk dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu selain Nur Fazura perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.

Plaintif mendakwa pada akhir September 2017, Nur Fazura telah melancar dan memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan sepanjang tempoh perjanjian berkenaan.

Narhamdan mendakwa, akibat pelanggaran yang berlaku, dia mengalami kerugian selain mendakwa penjualan produknya telah berkurangan.

Sementara itu, Nur Fazura, yang ditemani suaminya, Fattah Amin atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin meluahkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepadanya.

“Saya bersyukur semuanya telah selesai dan keadilan akhirnya memihak kepada saya. Saya akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku,” katanya. – Agensi