Fazura terharu atas kesabaran suami

Pelakon, Nur Fazura terharu atas kesabaran suami, Fattah Amin melayan kerenahnya sejak hamil.

Berkongsi kisah yang pernah terjadi, Fazura yang sedang hamil lapan bulan memberitahu, Fattah sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi keinginannya.

“Pada awal kehamilan, saya agak cerewet soal makanan. Pernah suatu hari, Fattah membelikan sandwic dan saya pula tidak menggemari sos atau mayonis.

“Melihat sandwic dibeli mengandungi bahan terbabit, saya terus menangis. Fattah kemudian tenangkan saya. Dia sanggup keluar semula semata-mata mahu membelikan sandwic baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis ‘Tea Party With Fazura’.

Pemegang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 ini turut menyifatkan suaminya mudah mengalah.

“Melihat kesabarannya melayan, saya terus minta ampun kerana rasa bersalah dan kasihankan dia. Suami turut menangkan saya dalam apa sahaja perkara,” katanya. – Agensi

Fazura yang sedang hamil lapan bulan. – Agensi