Pelakon dan usahawan Malaysia, Fazura memaklumkan dirinya menolak untuk menghasilkan tudung bertemakan Palestin meskipun mendapat permintaan daripada peminat.
Memetik dari mStar, Fazura atau Nur Fazura Shariffuddin, 40, berkata penghasilan tudung sebegitu bertentangan dengan prinsipnya sebagai seorang usahawan.
Sebagai pengusaha tudung, beliau juga berpendapat agak mustahil untuk mendermakan keseluruhan keuntungan jualan produknya kepada masyarakat di negara berkenaan.
“Saya menolak untuk menjual tudung bertemakan Palestin. Ini sekadar pendapat saya sahaja… saya bukan menghakimi sesiapa tapi saya rasa ia pelik sebenarnya.
“Boleh sahaja saya nak keluarkan tudung-tudung Palestin itu semua tapi kalau nak beri seratus peratus keuntungan itu… ada ke orang nak buat macam itu?
“Kita tetap kena keluarkan modal dan sebagainya. Bagi saya sebagai pengusaha mesti ada keuntungan yang boleh kita perolehi.
“Lagi pun ia tidak selari dengan prinsip saya,” katanya kepada mStar.
Kata Fazura beliau ada cara tersendiri untuk mengenang pemergian pejuang-pejuang Palestin seperti meletakkan tema kepada tudung keluaran terbaharunya.
Malah beliau memaklumkan ada memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin namun enggan berkongsi lanjut mengenai pemberiannya itu.
“Macam baru-baru ini saya keluarkan tudung bertemakan Raudhah kerana ingin mendedikasikan kepada para Shuhada kita yang ada di Palestin.
“Saya bayangkan mereka di taman-taman syurga, bunga itu melambangkan kedamaian dan kemuliaan. Cuma saya tak kongsikan perkara ini kepada umum.
“Tapi sumbangan lain saya kepada mereka tidak perlu disebutlah kerana itu antara saya dan Allah,” ujarnya. – Agensi
