FB gantung 200 aplikasi

WASHINGTON, 15 Mei – Facebook berkata semalam ia telah menggantung ‘kira-kira 200’ aplikasi di platformnya sebagai sebahagian daripada siasatan dalam penyalahgunaan data peribadi pengguna.

Siasatan dilancarkan selepas pendedahan yang firma pakar runding politik Cambridge Analytica merampas data kira-kira 87 juta pengguna Facebook ketika ia mengusahakan kempen Donald Trump pada 2016.

“Proses siasatan sedang dilancarkan sepenuhnya,” kata kenyataan atas talian daripada naib presiden perkongsian produk Facebook, Ime Archibong.

“Kami mempunyai kumpulan pakar dalam dan luar negara yang sedang bekerja keras untuk menyiasat aplikasi berkenaan dengan secepat mungkin. Setakat ini, beribu-ribu aplikasi telah pun disiasat dan kira-kira 200 telah pun digantung, sementara menunggu siasatan menyeluruh sama ada mereka betul-betul menyalahgunakan mana-mana data.”

Archibong menambah ‘di mana kami menemui bukti yang menunjukkan aplikasi berkenaan menyalahgunakan data, kami akan mengharamkan mereka dan memaklumkan pengguna lain menerusi laman web ini’.

Gambar fail pada 16 Mei menunjukkan logo Facebook dipamerkan dalam sebuah iPad di Philadelphia. Facebook telah menggantung kira-kira 200 aplikasi di platformnya sebagai sebahagian siasatan dalam penyalahgunaan data peribadi pengguna. – AP

Pendedahan mengenai Cambridge Analytica telah mendorong siasatan di Atlantic dan mendorong Facebook memperketatkan dasarnya tentang bagaimana data peribadi dikongsi dan dimasuki.

Facebook membuat perubahan dasar pada 2014 mengehadkan kemasukan data pengguna tetapi mendapati beberapa aplikasi masih mempunyai data yang diperoleh sebelum pengemaskinian.

“Terdapat banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mencari kesemua aplikasi yang mungkin telah menyalahgunakan data Facebook dan ia akan mengambil masa,” kata Archibong.

Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bulan lalu melakukan siasatan kesan sampingan yang timbul akibat pendedahan mengenai rampasan data Cambridge Analytica, berusaha meredakan kebimbangan bahawa syarikat gergasi Internet yang berpangkalan di California itu boleh melindungi privasi sementara memperoleh keuntungan dengan menyasarkan iklan yang berdasarkan apa yang dikongsi oleh orang tentang diri mereka.– AFP