FB sedia patuhi undang-undang data privasi

SAN FRANCISCO, 13 DIS – Facebook kelmarin mengumumkan mereka sudah bersedia menerima undang-undang data privasi yang akan berkuat kuasa di California pada awaltahun depan.

Akta Privasi Pengguna California (CCPA) akan memberikan hak kepada pengguna Internet di negeri tersebut untuk melihat data yang dikumpul oleh syarikat teknologi itu mengenai mereka dan dengan siapa mereka berkongsi.

“Dalam beberapa minggu sahaja lagi, CCPA akan dikuatkuasakan dan melanjutkan hak privasi data baharu kepada penduduk California,” kata rangkaian media sosial yang berpusat di Silicon Valley dalam satu pos.

“Kami sudah siap sedia untuk undang-undang tersebut sebahagiannya disebabkan kami telah membuat banyak pelaburan jangka panjang di seluruh produk kami untuk membantu orang di mana-mana sahaja untuk memudahkan mereka menguruskan privasi serta memahami pilihan mereka mengenai data mereka.”

Pada Januari, Facebook akan mengeluarkan notis untuk menjelaskan perubahan dasar data yang dibuat disebabkan syarat-syarat CCPA dan bagaimana orang ramai boleh menggunakan hak mereka di bawah undang-undang yang bakal dikeluarkan ini.

Syarikat-syarikat mempunyai lebih satu tahun untuk menerima CCPA, yang ditandatangani menjadi undang-undang pada Jun 2018.

Sebagai sebahagian daripada proses tersebut, Facebook telah menambah alat layan diri di mana semua pengguna media sosial boleh gunakan untuk memuat naik atau memadam data tersebut.

“Sementara kami fikir undang-undang privasi persekutuan yang kukuh merupakan satu langkah terbaik bagi memastikan hak privasi yang konsisten bagi penduduk di seluruh Amerika Syarikat, Facebook telah menyokong kelulusan CCPA pada tahun 2018 disebabkan komitmen global kami terhadap privasi adalah selaras dengan prinsip transparensi dan kawalan yang ada,” kata syarikat gergasi media sosial itu. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 23 Oktober 2019 menunjukkan tanda ‘Like’ Facebook dilihat di kampus ibu pejabat korporat di Melon Park, California. – AFP