Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    FDA luluskan ubat Alzheimer kedua

    WASHINGTON, 3 JULAI – Pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan satu lagi ubat Alzheimer yang boleh memperlahankan penyakit itu, menyediakan pilihan baharu untuk pesakit pada peringkat awal penyakit yang tidak boleh diubati dan merosakkan ingatan berkenaan.

    Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) meluluskan Kisunla keluaran Eli Lilly, kelmarin, untuk kes demensia ringan atau awal yang disebabkan oleh Alzheimer.

    Ia merupakan ubat kedua yang dengan yakin menunjukkan dapat melambatkan kemerosotan kognitif pada pesakit, berikutan kelulusan terhadap ubat serupa daripada pembuat ubat Jepun, Eisai, pada tahun lalu.

    Penangguhan yang dilihat dengan kedua-dua ubat itu adalah beberapa bulan – kira-kira tujuh bulan, bagi ubat Lilly. Para pesakit dan keluarga mereka perlu mempertimbangkan manfaat berbanding keburukan, termasuk infusi IV tetap dan kesan sampingan yang berpotensi berbahaya seperti bengkak otak.

    Pakar-pakar perubatan yang merawat Alzheimer berkata, kelulusan itu merupakan langkah penting selepas beberapa dekad rawatan percubaan yang gagal.

    “Saya sangat teruja untuk mempunyai pilihan yang berbeza untuk membantu pesakit saya,” kata Dr Suzanne Schindler, pakar neurologi di Washington University di St. Louis.

    “Sukar sebagai pakar demensia – saya mendiagnosis pesakit saya dengan Alzheimer dan kemudian setiap tahun saya melihat mereka menjadi lebih teruk sehingga mereka meninggal dunia,” tambahnya.

    Kedua-dua Kisunla dan ubat Jepun, Leqembi, adalah antibodi buatan makmal, yang diberikan menerusi IV, yang menyasarkan salah satu penyumbang kepada Alzheimer – pembentukan plak amiloid melekit di dalam otak.

    Persoalan masih timbul tentang pesakit mana yang harus mendapatkan ubat-ubat berkenaan dan berapa lama mereka boleh menikmati manfaatnya. – AP

    Imej yang dikeluarkan oleh Eli Lilly menunjukkan ubat Alzheimer baharu syarikat itu, Kisunla. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda