Fed: Pertumbuhan ekonomi AS menurun

WASHINGTON, 21 Feb – Rizab Persekutuan percaya pertumbuhan AS akan ‘turun’ tahun ini selepas mencatat kepesatan tahun lalu ketika risiko global semakin meningkat termasuk ketegangan perdagangan, menurut minit yang dikeluarkan kelmarin.

Dan memandangkan ketidakpastian lebih besar mengenai prospek ekonomi, bank pusat berkata mereka tidak pasti apa langkah seterusnya, menurut minit mesyuarat dasar terakhir Fed pada 29 dan 30 Januari.

Ketika ekonomi AS dijangka kekal kukuh, rangsangan pemulihan daripada pemotongan cukai Republikan pada 2017 akan menyumbang kepada kelambatan dengan KDNK pada 2019 turun sedikit daripada kadar yang dilihat pada 2018, kata minit itu.

Fed menaikkan penanda aras kadar pinjaman empat kali tahun lepas tetapi selepas kenaikan terakhir pada Disember, pembuat dasar mendapati prospek ekonomi menjadi lebih tidak menentu, menurut minit itu lagi.

Ketika pasaran kewangan menjadi menjadi tidak menentu akibat perang tariff AS dan China, pembuat dasar bulan lepas mengekalkan kadar faedah dan menghantar isyarat jelas bahawa mereka tidak akan tergesa-gesa untuk meningkatkannya semula tidak lama lagi.

Ekonomi global terus mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan dan sentimen pengguna dan perniagaan telah merosot, laporan itu menyebut sambil menambah Brexit, ketegangan perdagangan dan penutupan sebahagian kerajaan persekutuan baru-baru ini juga dilihat sebagai faktor yang menyumbang kepada ketidakpastian mengenai prospek ekonomi.

Fed bulan lepas mengalihkan pendiriannya secara dramatik dan secara jelas mengatakan bahawa para pegawai bersedia untuk bersabar sebelum memutuskan langkah seterusnya. – AFP