SHANGHAI, 16 Okt – Roger Federer (gambar) berkata dia akhirnya berjaya memadamkan ‘parut’ atas beberapa kekalahannya kepada Rafael Nadal selepas memenangi Shanghai Masters dengan kemenangan kelimanya berturut-turut ke atas pemain nombor satu dunia itu.
Pemain dari Switzerland berusia 36 tahun itu mempamerkan permainan bertaraf tinggi untuk menewaskan Nadal 6-4, 6-3 semalam, menjulang trofi keenamnya musim ini dan menggariskan perubahan dalam nasib menentang pesaing lamanya.
Pemain nombor dua dunia, Federer, menamatkan lima kekalahan berturut–turut kepada Nadal di Basel pada tahun lepas, sebelum memenangi Terbuka Australia pada Januari lalu.
Dia juga menewaskan Nadal di Indian Wells dan di Miami sebelum persaingan Shanghai, walaupun pemain dari Sepanyol itu masih memiliki kelebihan dalam rekod keseluruhan mereka sejak beberapa tahun, memenangi 23 dari 38 perlawanan antara mereka.
Federer berkata “kami sudah kehabisan tahun dalam jelajah” baginya untuk menguasai pesaing hebatnya itu, tetapi menegaskan dia tidak bimbang dengan perbezaan.
“Saya memikirkan saya tidak lagi takut seperti sebelumnya, bukan terlalu takut dalam apa jua keadaan,” kata pemain dari Switzerland itu.
“Tetapi saya tewas menentangnya beberapa kali, banyak kali terutamanya di atas gelanggang permukaan tanah liat.”
Federer memegang rekod gelaran 19 Grand Slam, tiga di depan Nadal selepas kedua pemain pulih dari kecederaan untuk menambah dua lagi kejayaan utama tahun ini dalam kebangkitan mengejutkan.
Federer tidak beraksi dalam persaingan gelanggang tanah liat tahun ini dan berkata dia menghindarkan Nadal di atas permukaan gelanggang pilihannya yang juga memberikannya kelebihan. Dia percaya kekalahan di final Wimbledon 2008 menentang Nadal adalah kerana dia masih dibayangi dengan kekalahan teruk hanya beberapa minggu sebelumnya di Roland Garros. – AFP