Federer dinobat atlet gaji termahal di dunia

NEW YORK, 31 MEI – Roger Federer mendahului senarai majalah Forbes 2020 atlet global dengan gaji tertinggi yang diumumkan baru-baru ini, mendahuluinya buat pertama kali dengan pendapatan sebelum cukai berjumlah AS$106.3 juta (95.5 juta euro).

Legenda tenis dari Switzerland, juara Grand Slam 20 kali itu, menjadi pemain pertama dari sukan tenis berada di puncak senarai tahunan sejak tahun 1990, melonjak naik dari kedudukan kelima pada tahun 2019.

Pendapatan Federer selama 12 bulan terakhir berjumlah AS$100 juta termasuk bayaran bagi penampilan dan tawaran tajaan serta hadiah wang tunai berjumlah AS$6.3 juta. Kedudukan terbaiknya sebelum ini adalah di tempat kedua pada tahun 2013.

“Jenama beliau yang unggul, itu adalah sebabnya mereka mampu melabur dengannya,” kata profesor perniagaan sukan Universiti Southern California, David Carter.

Berikutan wabak COVID-19 yang telah menghentikan sukan di seluruh dunia menyebabkan penurunan pertama sejak 2016 dalam jumlah pendapatan seramai 100 atlet yang dibayar mahal di dunia, penurunan sebanyak 9 peratus dari tahun lalu kepada AS$3.6 bilion.

Reaksi Roger Federer pada kejohanan yang lalu. Federer mendahului senarai gaji tertinggi yang diumumkan baru-baru ini, menduduki tangga teratas buat pertama kali dengan pendapatan sebelum cukai berjumlah AS$106.3 juta. – AP

Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo berada di kedudukan kedua dalam senarai dengan jumlah pendapatan AS$105 juta, iaitu AS$60 juta dari gajinya dan AS$45 juta dari sokongan tajaan, diikuti dengan wira bola sepak Argentina, Lionel Messi berada di tempat ketiga dengan jumlah pendapatan AS$104 juta serta AS$32 juta dari tawaran penajaan.

Messi dan Ronaldo, yang telah menduduki tempat teratas sejak tiga dan empat tahun kebelakangan, menyaksikan pendapatan gabungan mereka merosot sebanyak AS$28 juta dari tahun lalu kerana pemotongan gaji ketika kelab-kelab Eropah ditangguhkan dari bermain pada bulan Mac lalu.

Pemain bola sepak Brazil, Neymar berada di kedudukan keempat dengan AS$95.5 juta dan AS$25 juta dari sokongan tajaan, sementara bintang NBA, LeBron James dari Los Angeles Lakers berada di tempat kelima dengan pendapatan berjumlah AS$88.2 juta dan AS$60 juta dari sokongan tajaan.

Bintang NBA, Stephen Curry dari Golden State Warriors berada di kedudukan keenam dengan nilai AS$74.4 juta diikuti dengan bekas rakan sepasukannya, Kevin Durant dengan jumlah pendapatan AS$63.9 juta.

Tiger Woods, selaku juara Masters dan pemenang kejohanan golf 15 kali, berada di kedudukan kelapan dan berada di kedudukan teratas di antara pemain golf dengan nilai AS$62.3 juta.

Woods menduduki tempat teratas dalam senarai Forbes sebanyak 12 kali sebelum skandal kecurangannya menamatkan keunggulannya di carta Forbes. – AFP